TRAGEDI wang gaji lesap dalam sekelip mata amat memedihkan, terutamanya apabila ia adalah hasil titik peluh yang dinanti-nantikan setiap hujung bulan.
Begitulah nasib malang seorang pekerja apabila wang gajinya sebanyak RM1,700 didakwa hilang hanya kira-kira sejam selepas dimasukkan ke dalam akaun bank.
Seorang pegawai bank yang berkongsi kisah tersebut pada mulanya berasa pelik dengan kejadian berkenaan kerana hasil semakan awal mendapati senarai transaksi menunjukkan wang tersebut dikeluarkan menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Jangan sesekali berkongsi nombor pin kepada sesiapa bagi mengelak kejadian tidak diingini. -Gambar hiasan AI
“Adik aku telefon beritahu staf dia datang kerja sambil menangis. Katanya gaji RM1,700 baru sahaja masuk pukul 9 pagi, tapi apabila nak bayar bil pukul 10 pagi, baki akaun tiba-tiba tinggal 30 sen sahaja.
“Aku terus tanya kad bank ada pada siapa dan dah semak perbankan dalam talian atau belum? Dia jawab kad memang ada dalam pegangannya, tapi apabila semak penyata akaun, memang ada transaksi pengeluaran RM1,700 dibuat di mesin ATM,” katanya.




