HARI Kebangsaan bukan sekadar sambutan tahunan yang diraikan tanggal 31 Ogos.
Malah, tarikh keramat ini mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengimbau perjuangan terdahulu dan menilai kembali erti sebenar kemerdekaan.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, mStar berkongsi perspektif beberapa selebriti tanah air dua generasi mengenai pengalaman paling bermakna dan tafsiran mereka tentang merdeka.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Bagi golongan artis baharu, semangat cintakan negara diterjemahkan menerusi kenangan bersama keluarga, rasa bangga terhadap identiti Malaysia dan usaha memperkenalkan tanah air kepada generasi seterusnya.
Sementara itu, bintang-bintang senior pula melihat kemerdekaan daripada sudut lebih luas, termasuk perubahan cara hidup masyarakat serta kebebasan dalam membentuk pemikiran dan masa depan.
Laungan azan arwah bapa dalam kenangan

Jalaluddin mengimbau detik bersejarah bapanya melaungkan azan ketika negara mencapai kemerdekaan.
Menyentuh kemerdekaan, pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan mengakui perasaannya cukup terharu setiap kali terimbau kisah bapanya iaitu tokoh agama terkenal, Allahyarham Tan Sri Datuk Hassan Azahari melaungkan azan ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Jalaluddin, 72, berkata ketika detik bersejarah itu, usianya baru mencecah tiga tahun dan dia hanya memahami nilai serta kepentingan peristiwa tersebut apabila meningkat dewasa.
"Bila kami membesar dan dapat tahu bapa yang melaungkan azan semasa kemerdekaan, lagilah kami rasa terharu dan bangga.
"Sebagai anak, azan seorang bapa itu memberikan makna yang begitu besar. Bapa mendoakan anaknya menjadi orang berguna, membantu masyarakat dan memberikan sesuatu kepada negara," katanya.
Malaysia rumah kita bersama

Fasha melihat Hari Kebangsaan bukan sekadar sambutan 31 Ogos.
Pelakon Nur Fasha Sandha Hassan atau Fasha, 42, pula melihat Hari Kebangsaan bukan sekadar sambutan 31 Ogos.
Sebaliknya ia merupakan detik untuk lebih menghargai Malaysia selain rasa perpaduan rakyat berbilang kaum.
"Merdeka bukan sekadar bebas, tetapi tentang menghargai keamanan, menjaga perpaduan dan mencintai tanah air sepenuh hati.
"Kita mungkin berbeza, tetapi Malaysia tetap rumah kita bersama," luahnya.
Kenangan tunggu bunga api tepat 12 tengah malam

Nadhir menghargai momen menyaksikan pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.
Aktor muda sensasi, Nadhir atau Nadhir Ahmad Nasar, 30, menyifatkan merdeka apabila seseorang berani memilih jalan sendiri walaupun tidak semua orang memahami sebab di sebalik keputusan tersebut.
Dalam masa sama, kenangan paling indah menyambut Hari Kebangsaan buatnya ketika dibawa bapa menyaksikan pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.
"Dulu perkara ringkas seperti ini pun cukup buat kita rasa semangat patriotik itu dan bangga menjadi rakyat Malaysia yang harmoni," luahnya.
Kenangan sederhana, tetapi penuh makna

Shiha bangga menjadi rakyat Malaysia.
Bagi penyanyi Shiha Zikir atau Nurshiha Mohd Zikir, 39, momen duduk di rumah bersama keluarga menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan adalah detik bermakna buatnya.
Biarpun sekadar menonton di televisyen, namun ia sudah cukup membuatkan Shiha merasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
"Walau duduk depan TV, tetapi rasa itu tetap ada. Paling menarik melihat kereta berhias dengan bendera Malaysia.
"Kenangan macam itu buat saya rasa sebak, bangga dan gembira menjadi rakyat Malaysia. Tak mampu nak ucap terima kasih kepada pejuang negara sehingga mencapai kemerdekaan," katanya.
Bebas menentukan masa depan

Aniq melihat kemerdekaan daripada sudut kebebasan.
Lain pula pandangan aktor drama Ate Kome I Love You, Aniq Suhair, atau Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 26, yang melihat kemerdekaan daripada sudut kebebasan dalam membentuk kehidupan dan menentukan masa depan.
"Bagi saya merdeka bukan hanya tentang sebuah negara yang bebas.
"Ia adalah tentang hati yang bebas daripada kebencian, fikiran yang bebas untuk bermimpi dan jiwa yang bebas untuk menentukan siapa kita dan ke mana arah masa depan kita," katanya.
Jauh di mata, Malaysia dekat di hati

Ilya tidak pernah lupa menerapkan rasa cinta terhadap Malaysia kepada anak-anak.
Aktres Raja Ilya, 41, yang kini menetap di Perth, Australia, mengakui sambutan Hari Kebangsaan tidak pernah dilupakan walaupun berada jauh di perantauan.
Biarpun kemeriahannya tidak sama seperti di tanah air, namun semangat cintakan negara sentiasa mekar tatkala berjumpa warganegara Malaysia yang berada di sana.
Sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata, Ilya juga tidak pernah lupa menerapkan rasa cinta terhadap Malaysia kepada anak-anaknya.
"Pengalaman merdeka paling bermakna sekarang ini adalah dapat perkenalkan kepada anak-anak tentang asal-usul ibu mereka.
"Walau mereka lahir di sini (Australia), saya nak mereka tahu lagu Negaraku dan serba-sedikit latar belakang Malaysia.
"Di rumah kami, setiap tahun saya pasang bendera Malaysia, jadi anak-anak boleh faham ini juga sebahagian daripada mereka," ujarnya.
Merdeka lebih daripada sekadar bebas

Jamal menganggap makna merdeka bukan hanya sekadar sebuah kebebasan.
Pandangan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah, 67, mengenai kemerdekaan penuh tersirat dan mendalam. Hurainya, makna kemerdekaan tidak hanya terletak pada kebebasan sesebuah negara daripada penjajahan, sebaliknya turut membabitkan kebebasan individu dalam mengawal pemikiran dan hawa nafsu.
Menurut Jamal, generasi muda hari ini sebenarnya memiliki lebih banyak peluang dan kemudahan untuk membina kehidupan yang lebih baik berbanding masyarakat pada zaman dahulu.
"Makna Merdeka bagi saya adalah bagaimana cara pemikiran kita, merdeka daripada hawa nafsu, bebas daripada cengkaman, daripada pemikiran negatif.
"Kalau dibandingkan kesusahan zaman dulu, anak-anak muda ketika itu kebanyakannya rajin berusaha untuk membantu keluarga, menjadi petani.
"Namun sekarang agak berbeza, kebanyakannya mereka (anak muda) tidak begitu lagi. Maknanya zaman ini kalau kita rajin memang semua kita boleh dapat," jelasnya.
Merdeka daripada budaya negatif

Alya merasakan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan sekarang sudah berbeza.
Menurut pelakon Alya Iman atau Nur Alya Iman Azmil, 25, budaya mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan dan kediaman semakin jarang dilihat.
Justeru, katanya semangat patriotisme perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.
"Mungkin sambutan zaman sekarang dah tak semeriah dulu. Kalau dulu akan ada banyak kereta kibarkan jalur gemilang, di kediaman penuh dengan bendera… Sekarang dah tak nampak sangat budaya seperti ini.
"Selamat Hari Kebangsaan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga bukan saja negara kita bebas daripada penjajah, tetapi kita juga bebas daripada budaya buli siber, body shaming dan suka menghakimi orang lain," katanya.
Sambutan yang menyatukan semua kaum

Salamiah anggap Merdeka adalah tempat penyatuan kaum.
Dalam pada itu, mengenang sambutan Merdeka ketika masih kecil, penyanyi legenda Salamiah Hassan beranggapan sambutan tersebut merupakan satu acara penting yang mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara berbilang kaum di negara ini.
Imbau Salamiah, 75, dia amat merindui suasana kemerdekaan zaman dahulu yang dipenuhi kemeriahan dan semangat kebersamaan seperti mengadakan majlis makan-makan bersama jiran tetangga tanpa mengira bangsa.
"Saya tidak boleh lupa cerita Merdeka. Bila berkumpul dengan keluarga, ia bukan sahaja keramaian sesama kami tetapi bersama semua kaum iaitu Cina, Melayu dan India.
"Allahyarham bapa kerja hospital, jadi banyak kawan-kawan India dan Cina. Di kuarters hospital Jalan Yew itu kami berkumpul. Siapa sahaja yang masak di rumah, mereka akan bawa dan datang. Ia ibarat satu keluarga besar," katanya.
Tambah Salamiah, pengalaman dibesarkan dalam suasana berbilang kaum membuatkan tiada istilah perkauman dalam dirinya, selain menyifatkan tahap toleransi masyarakat generasi terdahulu jauh lebih tinggi berbanding masa kini.
"Bagi saya, racism is not in my blood. Saya dan keluarga dibesarkan secara begitu. Orang dulu-dulu toleransinya terlalu tinggi, tidak seperti sekarang yang nampak macam sekejap sahaja nak cepat marah," katanya.
Beragam kisah dan definisi, penggiat seni tanah air atau sesiapa pun bergelar anak watan punya rasa dan harapan yang sama.
Kita ingin terus menikmati kehidupan berkualiti dan harmoni di bumi bertuah ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube





