SYARIKAT rakaman EMI Music Malaysia di bawah naungan Universal Music Malaysia menyerahkan royalti kepada ahli keluarga Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan hak dan hasil karya penyanyi itu terus dinikmati oleh warisnya.
Majlis penyerahan royalti berjumlah RM367,305 itu turut mencerminkan usaha berterusan EMI Music Malaysia dalam memelihara dan menguruskan katalog muzik Sudirman agar terus relevan dan dapat dinikmati oleh generasi masa kini sehingga akan datang.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, ia bukan sekadar memenuhi tanggungjawab kontrak, malah ia adalah tanda penghormatan tertinggi terhadap sumbangan besar Sudirman kepada landskap muzik tanah air.







