KECOH di media sosial perang mulut membabitkan usahawan yang juga pempengaruh terkenal, Ojen Aiwahhh dengan atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali.
Tampil mengulas isu membabitkan mereka, Ojen atau Zayn Rosli menyelar kenyataan Johan yang menggelar kunafa sebagai makanan sampah.
Bengang dengan kenyataan itu, Ojen berkata tindakan Johan atau lebih mesra disapa Jojo itu merupakan satu bentuk provokasi melampau.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
“Apa lagi yang tak kena? Ada saja yang tak puas hati dengan saya dan jenama Kunafa Aiwahhh. Terbaharu, Jojo pula boleh keluar kenyataan berunsur ragebait serta provokasi dengan melabelkan kunafa sebagai makanan sampah.

Perang antara Ojen dan Johan di media sosial mendapat perhatian ramai netizen.
“Hari ini semua umat Islam berlumba-lumba mengejar pahala sempena Hari Arafah. Esok pun kita nak sambut Hari Raya Aidiladha. Tapi kecoh pula dengan benda yang tak perlu," katanya.
Menurut Ojen lagi, dia tidak terasa hati sekiranya atlet itu sekadar melabelkan kunafa sebagai manisan tidak sihat.
Namun tindakan Jojo menggelarkan kunafa sebagai ‘makanan sampah’ merupakan satu tindakan tidak boleh diterima.
“Kalau tak suka kunafa sekalipun, dia (Jojo) boleh cakap baik-baik dan jangan sewenang-wenangnya melabel sampah terhadap makanan termasuklah kunafa.
ARTIKEL BERKAITAN: Ojen Aiwah mengamuk dakwa ditipu ‘personal shopper’ lebih RM200,000
ARTIKEL BERKAITAN: "Sebelum Jojo, siapa tengok?" – Johan Ghazali dakwa Muay Thai Malaysia ‘hidup’ gara-gara imej ‘arrogant’
“Paling tidak pun janganlah cela makanan. Ia sumber makanan untuk yang meminati kunafa. Ia juga rezeki buat saya serta staf yang mencari rezeki dengan berniaga kunafa.
“Jojo juga sebenarnya ada menghantar mesej ke akaun media sosial milik saya dengan menulis kunafa semuanya sampah,” ujarnya.
Bukan sekadar kritikan terhadap makanan, malah Jojo turut menyentuh mengenai fizikal Ojen yang memiliki perwatakan lembut dengan mendakwa usahawan itu memiliki testosteron rendah.
“Dia siap tulis biarlah ‘rate’ atau kadar bayaran dirinya rendah selepas tewas dalam kejohanan baru-baru ini daripada memiliki testosteron rendah.
“Saya balas balik kepadanya dengan menulis… biarlah testosteron rendah sekalipun, cukup adab dengan makanan di tahap tertinggi. Dalam Islam sendiri tak tekankan soal testosteron tinggi atau rendah. Kalau nak dipandang tinggi, tinggikan adab bukannya ego… Manusia ada adab, Melayu kaya dengan adab.

Ojen (empat dari kiri) sudi menaja Muay Thai kerana sukan berkenaan kekurangan sokongan kewangan dan tajaan korporat.
“Jojo siap memuat naik poster rekaan berunsur sinis memperlihatkan dirinya akan bertarung Muay Thai dengan saya, tentu dia akan menang besar dalam perlawanan itu. Tapi saya tak boleh melihat kekalahan saat ada yang melabel sumber rezeki saya sebagai sampah,” katanya.
Sebelum ini, menerusi satu sesi audio siar, Jojo memberikan reaksi jelek terhadap makanan tersebut sehingga melabelkan menu kunafa itu sebagai sampah.
Meskipun tidak menyebut mana-mana nama peniaga, kritikan Jojo mengenai kunafa itu telah menimbulkan rasa kurang senang Ojen sehingga dia terpanggil untuk memberikan respon.
Isu ini menjadi semakin hangat apabila masing-masing dilihat berbalas kenyataan di media sosial.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!





