PERJUANGAN Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Piala Shopee kembali bersambung apabila mereka akan berkunjung ke Kemboja bagi berdepan PKR Svay Rieng FC pada Khamis.
Aksi berkenaan dijangka berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang masih mengekalkan rekod 100 peratus daripada dua perlawanan diharungi.
Ini termasuk kemenangan selesa ke atas Bangkok United dan Lion City Sailors dengan enam mata terkumpul meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan B.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Tonggak utama belum cukup rehat, 3 pemain JDT bersedia hadapi juara Kemboja
BACA LAGI: [VIDEO] Tomi dedah punca Sang Penyu tunduk kepada Svay Rieng

Skuad Harimau Selatan sibuk melakukan persiapan menjelang aksi menentang PKR Svay Rieng. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Malah, jurang pengalaman antara JDT dan PKR Svay Rieng pasti menyuntik keyakinan buat wakil negara yang sudah bermusim-musim beraksi di Asia.
Sejak dijenamakan semula pada 2013, skuad Harimau Selatan sudah berkali-kali berentap di peringkat antarabangsa dalam Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Sepanjang tempoh itu, jaguh bola sepak tempatan terbabit berpeluang menghadapi lawan berkualiti dari sekitar Asia Tenggara, termasuk di tempat lawan.
Ini termasuk pengalaman berdepan kelab Kemboja, Boeung Ket FC yang menariknya merupakan kali pertama dan terakhir JDT bertandang ke negara itu.
Pertembungan tersebut berlangsung ketika peringkat kumpulan Piala AFC 2017 dengan JDT berada di kedudukan kedua selepas empat perlawanan.

Tiga mata penuh diperlukan untuk mengukuhkan kedudukan di persada Kumpulan B. — Facebook/ASEAN United FC
Ini menjadikan aksi antara Boeung Ket FC dan skuad Harimau Selatan di Stadium Kebangsaan Olimpik, Phnom Penh amat penting buat kedua-dua pasukan.
Namun, meskipun bermain di gelanggang lawan, wakil negara itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas perlawanan di Stadium Larkin, Johor berakhir dengan kemenangan selesa.
Momentum dimiliki itu jelas memainkan peranan apabila JDT tampil dengan gaya permainan positif di hadapan ribuan penyokong di venue berkenaan.
Ini dibuktikan dengan kejayaan pasukan pelawat untuk menembusi jaringan seawal minit kelapan permainan selepas menerima hantaran Nazmi Faiz Mansor dan menewaskan penjaga gol lawan, Sou Yaty.
Penjaga gawang Boeung Ket sekali lagi melakukan kesilapan dalam merebut bola yang kemudian jatuh kepada Nazmi Faiz sebelum dia menambah kelebihan JDT.

Nazmi Faiz diangkat sebagai pemain terbaik selepas membantu pasukannya di Kemboja. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Aksi di stadium itu sedikit tenang pada babak kedua apabila kedua-dua pasukan cuba menguasai permainan, namun keadaan padang yang kurang memuaskan menyaksikan beberapa siri kecederaan berlaku.
Bagaimanapun, masalah tersebut tidak menghalang skuad Harimau Selatan daripada menambah gol menerusi Gabriel Guerra yang masuk sebagai pemain gantian.
Kemenangan 3-0 di Kemboja itu menjadi satu-satunya kemenangan pernah direkodkan JDT di negara Asia Tenggara itu dengan tiga mata dikutip masih diingati.
Ini kerana keputusan berkenaan membolehkan pasukan itu melayakkan diri ke pusingan kalah mati sebelum perjalanan dalam saingan Piala AFC 2017 berakhir di separuh akhir zonal.
Selain itu, perlawanan itu masih memberi memori indah buat Nazmi Faiz yang diangkat sebagai pemain terbaik atas sumbangan dicurahkan, termasuk meletakkan diri dalam senarai penjaring.
Keputusan sedemikian boleh diulangi menjelang aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Shopee dengan JDT sudah tentu mahu meraih mata maksimum untuk mengukuhkan status sebagai pendahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram





