KHABAR gembira buat penyokong bola sepak tempatan apabila penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin disahkan dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.
Perkembangan itu diumumkan menerusi hantaran di laman rasmi Facebook milik Malaysia NT yang mengesahkan kemasukan pemain berusia 23 tahun itu ke skuad kendalian Peter Cklamovski.
Difahamkan, panggilan tersebut dibuat bagi menggantikan penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah yang terpaksa menarik diri daripada kem atas faktor kesihatan.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Gabriel Peres-Sabah FC berpisah, Sang Badak intai pengganti di benteng pertahanan
Kemasukan Luqman atau lebih mesra disapa Luqie sekali gus menghangatkan semula perbincangan mengenai persaingan di posisi penyerang skuad kebangsaan yang kini hanya menampilkan tiga pilihan utama tempatan.
Walaupun ketiga-tiga penyerang tersebut memiliki potensi besar untuk beraksi di pentas antarabangsa, prestasi semasa mereka masih dianggap belum mencapai tahap konsisten yang diharapkan oleh jurulatih.
Namun, berdasarkan prestasi semasa tiga penyerang muda tanah air itu, tidak mengejutkan sekiranya mereka masih belum berjaya menempatkan diri dalam perancangan utama jurulatih skuad kebangsaan.
Kekurangan penyerang tempatan yang benar-benar menyerlah di peringkat liga turut menimbulkan kebimbangan bahawa Harimau Malaya mungkin terus berdepan ketandusan pilihan berkualiti di posisi serangan.
1) Gabriel Nistelrooy Tamin
Musim 2025/26 tidak berjalan seperti yang diharapkan buat penyerang muda Gabriel Nistelrooy Tamin apabila dia hanya beraksi dalam enam perlawanan Liga Malaysia setakat ini bersama Kuching City FC.
Lebih mengecewakan, pemain kelahiran Sarawak itu masih belum mencetak sebarang gol dengan hanya dua hantaran bantuan berjaya direkodkan sepanjang tempoh tersebut.
Statistik itu nyata tidak mencerminkan prestasi cemerlangnya musim lalu, apabila Gabriel muncul penjaring terbanyak Piala MFL 2024/25 dengan 23 jaringan ketika bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Gabriel masih bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama The Cats. — Facebook/kuchingcityfc
Sejak menyertai Kuching City secara pinjaman, penyerang berusia 25 tahun itu lebih banyak mengisi bangku simpanan dan belum berpeluang menunjukkan sentuhan berbisa yang pernah menjadikannya antara penyerang tempatan paling menyerlah di saingan pembangunan MFL.
Untuk rekod, keputusan meminjamkan Gabriel dibuat selepas pembubaran rasmi Piala MFL, selain faktor persaingan sengit di posisi serangan JDT yang kini dikuasai penyerang prolifik Bergson da Silva.
Dengan baki saingan musim ini, Gabriel pastinya berharap dapat menebus kekecewaan dan kembali membuktikan keupayaannya sebagai antara penyerang tempatan yang berpotensi besar di arena bola sepak tanah air.
2) Haqimi Azim Rosli
Penyerang muda skuad kebangsaan, Haqimi Azim Rosli berdepan musim sukar apabila hanya merekodkan empat penampilan bersama The City Boys setakat ini dengan jumlah keseluruhan 21 minit permainan sahaja.
Lebih mengecewakan, pemain kelahiran Gombak itu masih belum mencatatkan sebarang jaringan mahupun bantuan gol sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini.
Situasi tersebut jelas menunjukkan penurunan ketara dalam minit permainan Haqimi berbanding musim sebelumnya.

Prestasi Haqimi jelas menunjukkan penurunan ketara dalam minit permainan musim ini. — Facebook/klcityfc
Kejadian itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranannya dalam skuad kendalian jurulatih ketika ini.
Malah, nama Haqimi kali ini tidak dipanggil oleh Cklamovski untuk menyertai kem pusat Harimau Malaya.
3) Fergus Tierney
Penyerang muda Sabah FC, Fergus Tierney terus menunjukkan komitmen tinggi bersama Sang Badak apabila sudah membuat 13 penampilan dalam semua perlawanan musim ini.
Lebih manis, pemain berusia 22 tahun itu turut mencatat dua jaringan, masing-masing ketika menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super pada 1 November, serta menentang Bunga Raya FC dalam saingan Piala FA pada 18 Ogos lalu.
Menariknya, berbeza dengan dua penyerang tempatan lain, Tierney menjadi antara pemain paling konsisten diturunkan dan hampir tidak pernah terlepas beraksi dalam kesebelasan utama Sabah.

Meskipun sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama The Rhinos namun Tierney masih belum menambat hati Cklamovski. — Facebook/sabahfc
Begitupun, prestasi yang ditampilkan oleh Tierney masih belum cukup untuk ‘mencuri hati’ Cklamovski.
Hal itu berkemungkinan disebabkan kebolehannya belum cukup untuk menambah baik kualiti jentera serangan walaupun sudah bertahun-tahun namanya disebut peminat bola sepak tempatan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram





