Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan (SCASFT) bersama para penaja serta tetamu kehormat Spastic Fun Run bergambar beramai-ramai di garisan permulaan. Antara yang hadir bagi menunjukkan sokongan serta menyempurnakan upacara pelepasan ialah Pengarah Jabatan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Encik Pathmanathan A/L R. Nalasamy (ketiga dari kiri); EXCO Kerajaan Negeri Selangor bagi Pembangunan Wanita dan Pemerkasaan Keluarga, Kebajikan & Ekonomi Penjagaan, YB Puan Anfaal Binti Saari (kiri); Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Lee Chean Chung (kelima dari kiri); serta Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Haji Mohamad Zahri bin Samingon (keempat dari kanan).
PETALING JAYA, 30 Okt — Edisi ke-30 Spastic Fun Run 2025 telah berlangsung dengan meriah Ahad lalu di Dataran PJ, disempurnakan dengan upacara pelepasan rasmi oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya JKMM, YB Encik Pathmanathan A/L R. Nalasamy, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor, YB Puan Anfaal Binti Saari, Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Lee Chean Chung, dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Haji Mohamad Zahri bin Samingon.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCASFT) dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menarik penyertaan lebih 3,000 peserta termasuk orang awam serta individu kelainan upaya (OKU). Bertemakan “Your Contribution = Their Hope”, acara ini terus memupuk semangat kasih sayang, keprihatinan dan penerimaan dalam masyarakat.
Kesemua tetamu kehormat bukan sahaja menyempurnakan upacara pelepasan, malah turut menyertai ‘Unity Walk’ sejauh 2KM bersama wakil komuniti OKU dengan berjalan dan menolak kerusi roda, sebagai tanda sokongan terhadap kanak-kanak cerebral palsy dan golongan OKU. Acara turut menampilkan Larian Santai 5KM serta Larian Kompetitif 10KM yang membuka peluang penyertaan kepada masyarakat pelbagai lapisan.
Ringkasan Acara – 30 Tahun Dengan Jejak Bermakna
Suasana sepanjang pagi begitu meriah dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk hadiah pelari 10KM dan hadiah cabutan bertuah bernilai RM40,000, sesi senamrobik Zumba, reruai pameran komuniti serta zon “foodtrak makanan yang memeriahkan lagi acara.
SCAS&FT turut menerima empat “mock cheque” sumbangan daripada penaja-penaja yang dermawan bagi menyokong kos operasi pusat yang dianggarkan sekitar RM170,000 sebulan, yang kebanyakannya ditampung melalui sumbangan orang ramai dan syarikat korporat.
Menurut Datuk Jerry, Ahli Lembaga SCAS&FT merangkap Pengerusi Penganjur:
“Sepanjang 30 tahun penganjuran, acara ini bukan hanya sekadar platform pengumpulan dana, tetapi lambang inklusiviti nasional. Berjalan bersama komuniti OKU memberi peluang kepada peserta untuk merasai cabaran harian mereka — sekali gus memupuk empati dan rasa tanggungjawab yang lebih mendalam.”
YB Encik Pathmanathan A/L R. Nalasamy, menyeru sektor awam dan swasta untuk menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran serta pembangunan kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar mereka dapat membina kemahiran dan berintegrasi dengan yakin dalam masyarakat.
“SCAS&FT sentiasa komited dalam usaha pemulihan dan pendidikan kanak-kanak ini — dan wajar terus mendapat perhatian serta sokongan daripada semua pihak,” katanya.
30 Tahun Legasi Inklusiviti dan Harapan
Ditubuhkan pada tahun 1960, SCAS&FT telah menganjurkan ‘Walk-Jog-Wheel-A-Thon’ pertama pada tahun 1994, dan sejak itu acara tahunan ini terus diteruskan selama tiga dekad. Larian ini bukan sahaja membantu menampung kos operasi pusat, malah turut meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam kebajikan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Beberapa NGO kebajikan turut mengambil bahagian dan berjaya mengutip lebih RM130,000 bagi menyokong operasi organisasi masing-masing hasil penyertaan dalam acara tahun ini.
Hasil kutipan dana tahun ini akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan fisioterapi, mengembangkan program pendidikan khas dan latihan vokasional, serta menyumbang kepada tabung pembangunan bangunan baharu demi meningkatkan penjagaan jangka panjang untuk kanak-kanak cerebral palsy.
Untuk maklumat lanjut:
Facebook: Spastic Children’s Association of Selangor & Federal Territory
Laman Sesawang: www.scasft.org





