SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh reputasi sebagai gergasi bola sepak tempatan apabila membelasah DPMM FC 10-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Kemenangan besar itu bukan sahaja menegaskan dominasi skuad Harimau Selatan, malah menjadi isyarat jelas bahawa standard permainan mereka kekal tinggi biarpun hanya empat hari selepas menewaskan Chengdu Rongcheng 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).
JDT hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang berbisa, Bergson da Silva yang menyambar hantaran lintang Arif Aiman Hanapi bagi menewaskan penjaga gol DPMM, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.







