SELANGOR FC bakal meneruskan kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) menentang wakil Indonesia, Persib Bandung dalam perlawanan Kumpulan G yang dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Bandung pada Khamis.
Pertembungan tersebut dianggap sebagai misi hidup mati buat skuad Gergasi Merah dalam usaha menghidupkan kembali peluang untuk mara ke peringkat kalah mati selepas bermula hambar dalam dua aksi terdahulu.
Setakat ini, Selangor belum meraih sebarang mata selepas tewas 2-4 dalam kedua-dua aksi menentang Lion City Sailors dan Bangkok United, sekali gus meletakkan mereka di tangga tercorot Kumpulan G.







