SKUAD Kuching City FC berjaya menamatkan badi kekalahan kepada Sabah FC apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi sengit Liga Super 2025/26 yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.
Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja membawa pulang tiga mata penuh buat skuad The Cats malah menyaksikan mereka kini bergelar sebagai ‘Raja Bola Sepak Borneo’ yang baharu selepas sekian lama dibayangi keunggulan pasukan Sang Badak.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Jordan Mintah yang bijak memanfaatkan kekeliruan di benteng pertahanan Sabah sebelum menanduk masuk bola ke dalam gawang.





