AGENSI Siasatan Persekutuan (FIA) Pakistan menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia yang licik apabila menahan 22 lelaki yang menyamar sebagai pemain bola sepak profesional untuk memasuki Jepun menggunakan dokumen palsu.
Menurut pegawai FIA, kesemua suspek lengkap berpakaian kit bola sepak dan mendakwa mereka bernaung di bawah Persekutuan Bola Sepak Pakistan (PFF) selain membawa surat kebenaran (NOC) palsu daripada Kementerian Luar Negeri.
Bagaimanapun, helah itu terbongkar ketika pemeriksaan imigresen Jepun, menyebabkan kesemua mereka dihantar pulang. Pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana kumpulan tersebut berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Pakistan.





