SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sekali lagi gagal menepati jangkaan apabila tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F saingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang berlangsung di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada Selasa.
Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir di Arab Saudi, malah mengulangi kekecewaan yang dialami pada Julai lalu apabila tersingkir di peringkat kumpulan Piala Asean B-23 selepas seri tanpa jaringan dengan Indonesia di Jakarta.
Dalam kempen kali ini, anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan saingan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Lubnan, sebelum bangkit garang membelasah Mongolia 7-0.







