BARISAN ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus berdiam diri di sebalik pagar besi apabila enggan memberikan sebarang kenyataan media selepas mesyuarat tergempar yang dipercayai berkaitan isu peletakan jawatan presiden badan induk itu, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Lebih menyedihkan, pengamal media yang tiba seawal pukul 10 pagi terpaksa ‘berpayungkan’ sebatang pokok bagi mengelak bahang mentari selepas tidak dibenarkan masuk ke perkarangan bangunan FAM dan hanya mampu menunggu di luar pagar utama.
Selama kira-kira empat jam menanti, tiada seorang pun exco tampil memberi respons atau melayani pertanyaan media, seolah-olah mahu mengelak perhatian terhadap isu yang dianggap berprofil tinggi itu.





