NAMA Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira semakin menyerlah dalam arena olahraga negara apabila memecahkan rekod kejohanan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, pada Jumaat lalu.
Atlet berusia 17 tahun dari Terengganu itu menamatkan saingan acara 200 meter perempuan bawah 18 tahun dengan catatan 24.24 saat, sekali gus mengatasi rekod lama 24.79 saat yang dipegang Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak.
Kejayaan itu melengkapkan kutipan tiga pingat emas buat Izzatul Musfirah dalam edisi kali ini, selain turut memecahkan tiga rekod kejohanan sekali gus dinobatkan sebagai Olahragawati MSSM Ke-65.





