PERLAWANAN penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2025 antara Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Negeri Sembilan Arena, Nilai pada Sabtu bertukar kecoh apabila berlaku insiden pergaduhan melibatkan staf pasukan Sabah sendiri.
Aksi sengit itu pada awalnya menyebelahi Sabah yang mendahului dengan keputusan 3-1, namun kelekaan di penghujung permainan menyaksikan mereka dibolosi tiga kali berturut-turut, sekali gus tewas tipis 3-4 kepada JDT.
Kekecewaan jelas dirasai di kem Sabah dan keadaan menjadi semakin tegang apabila ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe bertindak masuk ke dalam gelanggang sebaik sahaja wisel penamat ditiup.





