KEJOHANAN Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 terus mencatat sejarah apabila pasukan Sabah berjaya meleburkan rekod lama acara kuartet 4×100 meter bawah 18 tahun pada hari ketiga saingan di Perlis pada Khamis.
Biarpun beraksi dalam keadaan trek yang basah, semangat kental yang dipamerkan barisan pelari Sabah, Mohd Zaidy Kadir, Airiel Amani Kahar, Carlson Camilus dan Muhd Muzaffar Shah membuahkan hasil apabila menamatkan larian dengan catatan 40.89 saat, sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.
Pencapaian itu bukan sahaja membuktikan keupayaan atlet muda dari Borneo, malah menjadi penanda aras baharu dalam acara pecut peringkat sekolah.





