PEMERHATI sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli melontarkan pandangan terhadap keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang baru-baru ini mengumumkan penambahan kuota tiga pemain tempatan dalam setiap pasukan Liga Super kepada 33 orang pemain.
Menurut beliau, penambahan itu sebenarnya tidak memberi impak besar kepada peluang pemain tempatan untuk menyerlah, khususnya jika tiada mekanisme khas atau syarat tertentu yang disertakan.
“Saya tidak nampak pertambahan kuota ini memberi ruang yang lebih luas kepada pemain tempatan untuk menyerlah kerana kuota beraksi di padang untuk pemain import (enam di padang, tiga di bangku simpanan) telah pun ditetapkan, begitu juga dengan pemain tempatan,” katanya kepada Majoriti.






