STADIUM Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan bakal bergema semula dengan sorakan peminat apabila sebuah perlawanan amal istimewa mempertemukan pasukan pilihan bekas pemain negeri itu menentang barisan legenda Selangor dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.
Inisiatif itu mendapat sambutan hangat daripada penyokong tempatan yang merindui detik kegemilangan bola sepak Kelantan, khususnya era kemuncak The Red Warriors (TRW) lebih sedekad yang lalu.
Antara wajah ikonik kembali menyarung jersi TRW termasuklah kapten lagenda, Badhri Radzi; penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat serta barisan pertahanan dan pemain tengah seperti Daudsu Jamaludin yang menjadi tunjang kejayaan treble Kelantan suatu ketika dahulu.







