PELARI pecut kebangsaan, Mohd Azeem Fahmi terus mengukir nama di arena olahraga kolej Amerika Syarikat (AS) apabila membantu pasukan Universiti Auburn mara ke final acara 4×100 meter berganti-ganti Kejohanan NCAA Divisyen Satu dengan catatan masa yang menyamai rekod kejohanan.
Berlangsung di Hayward Field, Universiti Oregon, Oregon, kuartet Auburn mencatat masa 37.97 saat dalam saringan ketiga separuh akhir, menyamai rekod yang mereka cipta pada edisi tahun lalu, juga merupakan catatan ketiga terpantas dalam sejarah kejohanan NCAA.
Pasukan yang diketuai Azeem selaku pelari pertama, diikuti oleh Kayinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba, mempamerkan larian bertenaga dan pertukaran baton yang kemas untuk memastikan mendapat tempat di pusingan akhir.





