DETIK yang dinantikan peminat bola sepak tanah air akhirnya tiba apabila kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, selamat mendarat di ibu negara pada Isnin, menjelang aksi Maybank Challenge Cup 2025 menentang pasukan pilihan ASEAN All Stars yang bakal berlangsung pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Puluhan penyokong setia mula memenuhi pekarangan hotel penginapan pasukan, lengkap dengan jersi merah kebanggaan dan harapan untuk melihat dari dekat idola masing-masing.
Suasana bertambah meriah apabila bas rasmi kelab tiba sekitar pukul 8 malam, disambut sorakan gemuruh yang bergema di segenap ruang tetapi masih diiringi kawalan keselamatan yang ketat bagi memastikan kelancaran ketibaan skuad Red Devils.
BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia ‘sailang’ minit akhir bintang Bayer Leverkusen
BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana
Walaupun Manchester United menamatkan musim 2024–25 di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris, pencapaian terburuk mereka sejak tahun 1974 namun sambutan hangat yang diterima di Malaysia membuktikan bahawa semangat kesetiaan penyokong Red Devils tidak pernah luntur.
Salah seorang penyokong Man United dari England yang sanggup hadir ke Kuala Lumpur bersama keluarganya adalah Tej Constant, 32, berkongsi kepada Majoriti pengalaman luar biasa semasa berada di Malaysia dan apa ertinya menjadi sebahagian daripada keluarga besar Manchester United.
“Kami banyak mengikuti Manchester United. Kami sering berpeluang untuk pergi ke Old Trafford tapi saya sudah beberapa kali ke sana. Jadi saya rasa ia sangat istimewa untuk dia melihat pasukan ini di luar England. Suasana sambutan di sini (Malaysia) sangat mesra keluarga, sebab itulah kami bawa dia bersama.
“Kami menikmati masa yang hebat di sini. Malaysia memang hebat. Ada begitu ramai peminat Man United. Bila pakai baju United, semua orang ingin menyapa. Ia memang pengalaman yang hebat.






