SEBUAH majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung dalam suasana gembira bertukar suram apabila seorang individu tidak dikenali dipercayai menyamar sebagai tetamu dan melarikan wang tunai sebanyak RM2,500 baru-baru ini.
Menurut seorang pengguna Facebook, Ameer Hakimi kejadian itu berlaku di Kampung Tasek Berangan dekat Pasir Mas, Kelantan ketika mereka sedang meraikan majlis perkahwinan kakak ipar mereka pada Sabtu lepas.
Menurut Ameer, suspek yang berpakaian seperti tetamu lain dipercayai memasuki rumah dengan alasan ingin menggunakan tandas. Namun, individu berkenaan bertindak mengambil sejumlah wang yang disimpan sebelum beredar tanpa disedari.





