MALAYSIA bukanlah kuasa besar dalam sukan footgolf, namun siapa sangka skuad wanita kebangsaan berhasil bergelar juara Asia apabila mengejutkan juara dunia 2023, Jepun di pentas final kejohanan Footgolf Piala Asia 2024 di The Els Club, Desaru, Johor.
Kejohanan yang berlangsung pada September lepas itu menyaksikan skuad dibarisi Steffi Siddhu, Fatin Shahida dan Nisa Alina Zulkefli, terlebih dahulu mengikat Jepun 1-1 dalam masa sebenar sebelum melakar kemenangan 2-0 pada aksi play-off.
Selepas dua bulan berlalu, kehangatan kemenangan tersebut masih dirasai oleh salah seorang pemain footgolf tanah air iaitu Nisa Alina, yang sehingga kini mengingati momen terindah dalam kariernya itu.