PERAK FC sekali lagi bergelut untuk memastikan kemenangan dalam kempen Liga Super apabila hanya meraih keputusan seri ketika berdepan PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.
Selepas ketinggalan pada minit ke-56 menerusi gol Aremu Timothy, skuad The Bos Gaurus (TBG) bangkit menyamakan kedudukan menerusi kapten, Luciano Guaycochea kira-kira 10 minit berselang.
Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan yang menyaksikan pasukan Utara tanah air itu gagal meraih kemenangan buat kali kelapan dalam kempen liga selepas 13 perlawanan.






