Oleh Asraf Aided
MESKIPUN kebanyakan pengusaha produk selalu memilih duta dalam kalangan selebriti muda yang sedang popular, artis veteran juga mempunyai tarikan dan keupayaan tersendiri.
Hal demikian kerana golongan berkenaan sudah mempunyai pengikut dan peminat yang setia serta menyokong aktiviti yang membabitkan mereka.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa mengulas mengenai tindakannya yang mengambil pelakon veteran Kamarool Yusoff atau lebih popular dengan nama Cik Man Cik Man sebagai seorang daripada duta produk wangiannya.
Tindakan penaja siri Jelajah Suria Kuasa 2 baru-baru ini itu berbeza dengan pihak lain yang lebih berminat mengambil selebriti muda, popular serta mereka dalam kalangan BBNU sebagai duta produk.
“Cik Man memberikan komitmen yang sangat bagus terutama dalam membuat kandungan yang menarik serta mampu menarik perhatian semua peringkat umur.
“Lebih menarik kanak-kanak seawal usia tiga tahun juga mengenali Cik Man dan kami menerima makluman sangat positif daripada pelanggan kami,” katanya pada karnival Bossku Mega Expo 2024 yang diwangikan oleh Yaya Empire di Pantai Sri Tujuh, Kelantan Jumaat lalu.
Nadia yang juga mesra disapa Kak Ya berkata, Cik Man yang mempunyai peminat dalam kalangan pelbagai peringkat usia juga mampu menterjemahkan sokongan menerusi pembelian produk oleh syarikatnya.
Katanya, sudah lima tahun memilih Cik Man sebagai duta produk di samping selebriti lain seperti pelakon, penyampai radio dan pelawak, Issey Fazlisham serta pempengaruh media sosial, Mia Azhar.
“Cik Man juga tidak berkira soal bayaran malah bersetuju kerana mahu membantu usahawan tempatan terutamanya yang berasal dari Kelantan.
Baginya, selain untuk mempromosikan produk, duta juga membantu membawa imej sesebuah jenama dalam menarik minat serta perhatian pembeli.
Sementara itu, Cik Man 67, yang dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan.
“Saya sendiri terima dengan hati terbuka bila Yaya Empire tawarkan untuk jadi duta sejak lima tahun lalu dan saya tertarik kerana ia diusahakan oleh anak muda dan berasal dari negeri kelahiran saya.
“Tidak kisah kita popular atau tidak, tua mahupun muda kalau kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan pasti akan nampak hasil.
“Bagi saya bila orang percaya kita berikan yang terbaik dan saya juga beruntung kerana masih ada peminat yang terus sokongan saya,” katanya yang sudah berlakon dalam lebih dari 50 buah filem.
Cik Man terkenal dengan tagline “Semua Masuk Syurga” juga bersyukur serta terharu kerana sentiasa ditegur peminat setiap kali kemunculannya.
Pada karnival itu, antara yang menarik perhatian adalah konsert percuma yang berjaya menarik lebih 10,000 penduduk tempatan.
Selain persembahan dikir barat oleh kumpulan Sri Budi Jati serta penyanyi dikir tempatan, Datuk Jamal Abdillah dan Haqiem Rusli turut menghiburkan penonton.
Lebih menarik Jamal turut menyampaikan lagu popularnya Sendiri dalam versi dikir barat bersama Ezeri Layang Putih yang digelar Datuk Jamal versi Kelantan.