Suria FM sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya merangkul Anugerah Seri Angkasa 2024 bagi kategori Rancangan Agama Radio Terbaik melalui program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” pada majlis malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) yang diadakan pada 26 Oktober 2024 (Sabtu) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Diterbitkan oleh Farhana Najlaa, program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” mengangkat tema cinta dan pengabdian kepada Tuhan yang disampaikan melalui perkongsian rohani, tazkirah, dan pengalaman kehidupan masyarakat. Kejayaan ini membuktikan keupayaan Suria FM dalam menyampaikan mesej keagamaan dengan pendekatan yang lebih dekat kepada pendengar.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas kemenangan ini.
“Kemenangan ini adalah hasil usaha gigih team Suria FM, terutamanya penerbit Farhana Najlaa dan semua yang terlibat dalam penghasilan program ini. Program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” bukan sahaja berjaya mendidik hati, tetapi juga berjaya menyentuh perasaan para pendengar. Anugerah ini adalah penghargaan atas komitmen kami dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat, relevan, dan bermakna untuk masyarakat,” ujar DJ Lin.
Anugerah Seri Angkasa (ASA) merupakan acara berprestij dalam industri penyiaran Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi. Anugerah ini diberikan kepada program dan personaliti penyiaran terbaik di Malaysia, dan pemenang ditentukan sepenuhnya oleh panel juri profesional berdasarkan kualiti produksi, kreativiti, dan impak kandungan. Sebanyak 60 kategori (40 kategori televisyen, 16 kategori radio, 4 kategori media baharu) dipertandingan bagi ASA 2024
Suria FM amat gembira di atas pengiktirafan ini dan akan terus komited untuk memberikan yang terbaik kepada para pendengar dengan pelbagai program berkualiti tinggi dan berinformasi.
Maklumat lanjut, layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia:
Instagram: suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l Youtube: SuriaTV l X: @suria_malaysia