ARTIKEL

Bkay Nair Mahu Tarik Minat Gen Z

Oleh Asraf Aided

Pelakon yang aktif bergiat dalam dunia fesyen, Bkay Nair mahu mengetengahkan rekaan pakaian tradisional kaum India iaitu Sari menggunakan tekstil batik.

Bkay atau nama kelahirannya Tryambikay Vengades Nair, 42, berkata koleksi busana itu bakal dipersembahkan sempena dengan pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2023) pada 23 November depan.

“Inilah kelainan yang kami bawakan tahun ini di mana antara yang mejadi fokus utama ialah 6 Yards of Beauty. Pakaian sari direka menggunakan tekstil batik, kedua-duanya merupakan warisan dan identiti negara kita.

“Selain mengangkat martabat warisan budaya negara kita, rekaan sari batik ini juga bertujuan untuk menarik minat golongan muda atau Generation Z (Gen Z). Bukan saja penggemar pakaian tradisional yang sedia ada atau yang lebih berusia kita perlu beri perhatian, golongan Gen Z pun sama pentingnya.

“Saya difahamkan, golongan Gen Z suka dengan pembaharuan, kalau kita suruh mereka pakai sari atau pakaian batik tradisional seperti yang biasa dilihat, mungkin susah sedikit. Tetapi jika kita tonjolkan sedikit eleman baharu dan segar, ia boleh mencuri perhatian mereka,” katanya kepada Team Showbiz Suria pada sidang media di Bungalow 37, Bangsar petang semalam.

Bkay menunjukkan cara pemakaian sari kepada pihak media.

Bkay menambah, beliau juga sedang dalam usaha mendapatkan hasil tangan daripada banduan di beberapa penjara tempatan.

“Sebenarnya, ada beberapa penjara di negara kita di mana banduan di situ sangat kreatif dan punya hasil kerja tangan yang bermutu. Saya sangat tertarik dan mahu menyokong mereka memandangkan mereka pun menghasilkan batik yang tinggi nilai seninya,” katanya lagi.

Bkay berkata, pemilihan batik pada pertunjukan anjuran Bkay Nair Resources dengan sokongan Persatuan Pembangunan Pernigaan Fesyen Malaysia (PPPFM) kali ini, menampilkan batik sebagai tekstil yang mampu menghasilkan pelbagai jenis dan potongan fesyen mengikut kreativiti pereka.

Lebih dari itu, Bkay yang pernah membintangi filem Ratu The Movie berkata usaha memperkenalkan batik ke pentas lebih komersial ini mampu menjana pendapatan mereka yang terlibat dalam industri ini.

“MHS2024 juga bakal mengiktiraf dan menyediakan Anugerah Pereka Terbaik yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu dalam menghargai usah pereka terbabit mengangkat warisan tekstil tempatan.

“Kami turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam penganjuran kali ini yang mendapat penyertaan daripada pereka tempatan.

“Selain sari, pereka juga bakal menampilkan pelbagai rekaan menggunakan tekstil batik seperti baju dan gaun yang boleh digayakan dalam majlis khas mahupun untuk tujuan komersial dalam meraikan tradisi tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Bkay yang juga presiden PPPFM berkata, beliau gembira dan bersyukur akhirnya sebuah persatuan untuk peniaga fesyen dinegara ini berjaya ditubuhkan sekaligus memberikan amanah kepada dirinya untuk mengetuainya.

“Saya menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan industri fesyen di negara ini terus berkembang.

“Pelbagai agenda juga sudah diatur termasuk bengkel dan sesi perbincangan bagi mengeratkan hubungan sesama pemain industri dalam bidang berkaitan serta mencari peluang menjalinkan usaha sama,” katanya.

 

 

 

Batik Bkay Nair Sari

0%