BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
“LAYTH Kharoub merapatkan kedudukan untuk Kelantan Darul Naim, setidak-tidaknya ia mengukir senyuman Park Jae-hong untuk menembusi gawang Johor Darul Ta’zim,” kata pengulas siaran langsung Astro Arena ketika pasukan Pantai Timur itu merapatkan kedudukan kepada 1-4 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, malam Ahad lalu.
Ulang tayang gol pada minit ke-65 itu menunjukkan bantuan jaringan pemain import baharu, Washington Brandao yang menanduk ke depan kotak penalti tuan rumah.







