ARTIKEL

Filem Pungut Dedah Realiti Kehidupan Pemungut Sampah

Oleh Asraf Aided

SYARIKAT produksi Studio Screen kini tampil ke depan memfilemkan sebuah cerita yang cukup berbeza iaitu tentang realiti kehidupan pengutip sampah.

Melalui Pungut arahan Areel Abu Bakar ini, penonton dibawa menyusuri kepayahan hidup pemungut sampah yang mahu mencari rezeki walaupun terpaksa bergelumang di tempat yang dianggap geli dan menjijikkan.

Penerbitnya, Dato’ Saifulhaq Anani berkata, filem aksi Pungut mempunyai metafora tersendiri yang menyentuh tentang pelbagai cabaran dalam kehidupan.

“Ia mencerminkan tentang kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang terlalu sukar demi mencari sesuap nasi.

“Jadi, naratif ini diolah dengan situasi yang berlaku sekarang ini dengan mengetengahkan kisah kehidupan pemungut sampah,” katanya.

Saifulhaq menambah, Areel dipilih selaku pengarah kerana filem arahannya yang terdahulu iatu Geran dan Walid memiliki konsep yang dekat dengan cerita yang ingin disampaikan di dalam Pungut.

Katanya juga, filem Pungut boleh membuka mata orang ramai dengan mesej yang ingin disampaikan.

“Filem ini memberikan kesedaran bahawa di sebalik pembangunan yang semakin pesat, masih ada segelintir yang mencari rezeki dalam longgokan sampah,” ujarnya.

Sementara itu, Areel memberitahu dia sendiri suka menghasilkan filem yang memaparkan realiti kehidupan masyarakat.

“Saya memang suka buat filem yang menunjukkan realiti yang dekat dengan masyarakat. Itulah yang saya telah tonjolkan dalam dua filem saya sebelum ini.

“Kali ini, saya angkat kisah pemungut sampah yang berhadapan pelbagai dugaan. Bukan itu saja, jalan cerita diperkuatkan lagi dengan babak-babak aksi pergaduhan,” jelasnya.

Filem Pungut sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.

 

Areel selaku pengarah filem Pungut.

Dalam pada itu, Areel juga berkongsi tentang cabaran utama menghasilkan filem berkenaan.

“Antara cabaran utama, kami menjalankan penggambaran di kawasan pelupusan sampah sebenar. Pastinya ia mengundang risiko kerana persekitaran yang kurang sihat.

“Pun begitu, saya ingin melihat sendiri kehidupan pemungut sampah mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.

“Mungkin ada segelintir yang memandang jijik pekerjaan sebegitu, namun dalam perspektif lain, cuba bayangkan pula kalau tiada orang yang ingin melakukan kerja-kerja sedemikian,” katanya.

Pada masa sama, Areel turut meletakkan harapan agar penonton dapat menonton filem Pungut dengan minda yang terbuka.

Filem Pungut dibintangi Ruzaidi Abdul Rahman, Aman Graseka, Fad Anuar, Aliff Yasraff dan ramai lagi. Ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 29 Ogos lalu.

Aksi Filem Filem Aksi Filem Pungut Panggung Wayang Pungut trending viral Wayang

0%