ARTIKEL

Petua Dato’ M Nasir Hilangkan Gementar

Oleh Khadijah Ibrahim

MESKIPUN lebih empat dekad melayari bidang seni, penyanyi tersohor Dato’ M Nasir akui perasaan gugup dan gementar itu tetap ada sebelum mengadakan persembahan.

Katanya, perasaan gementar itu bukan kerana beliau tidak yakin dengan kemampuan diri namun disebabkan orang lain di sekelilingnya. Justeru, setiap kali sebelum memulakan persembahan, beliau lebih selesa kalau tidak ada ramai orang di belakang pentas.

“Berbanding dulu, Alhamdulillah, apabila umur sudah meningkat, saya tidak lagi merasa terlalu gementar. Tapi saya akan nervous juga kalau orang lain yang nervous kerana itu boleh menganggu saya.

“Sebab itulah, sebelum persembahan saya tak berapa gemar kalau ada ramai orang di belakang pentas. Orang mungkin ingat kita sombong tapi sebenarnya kalau ramai orang, ia boleh menganggu fokus saya. Masa itulah kita nak hafal lirik, ingat melodi dan macam-macam perkara,” akuinya ketika ditemui Team Showbiz Suria pada sidang media pengumuman konsert susulan Dato M.N45ir CIPTA 2, Selasa lalu.

Sifu muzik giat berkonsert.

Konsert Dato M.N45ir CIPTA 2 yang bakal berlangsung pada 12 Oktober ini di Axiata Arena Bukit Jalil diadakan bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak berpeluang menonton konsertnya yang diadakan di lokasi sama pada 10 Ogos lalu.

Bagi M Nasir, beliau tidak menolak permintaan penganjur ICON Entertainment untuk menjayakan konsert dalam tempoh terdekat kerana sebagai anak seni itu adalah satu pekerjaan buat dirinya.

“Menyanyi bagi saya adalah satu pekerjaan. Bagi saya, selain daripada pekerjaan, menjayakan konsert adalah bagi mencabar diri saya sebagai seorang pelaku. Seorang pelaku ini, dia seronok buat perancangan. Kalau ramai orang lagi bagus, itu keseronokannya.

“Sebenarnya, bila kita buat konsert ini, tujuannya adalah untuk menyampaikan apa-apa yang si pelaku itu nak sampaikan mesej dalam lagu atau mesej dirinya, karakternya atau pesonanya kepada orang.

“Seorang pelaku mesti buat persembahan kerana itu kerjanya tapi kalau macam saya, saya suka teater yang berkisar tentang dunia lakonan dan persembahan. Saya suka berkomunikasi cara begitu. Bila mesej atau perasaan yang kita nak sampaikan itu dapat sampai kepada penonton dengan kehendak dan cara kita, itu satu kejayaan bagi saya,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi dan komposer itu mengakui pada usia 67 tahun, pelbagai cabaran yang perlu dilalui bila mengadakan konsert.

“Sebenarnya orang tak tahu tentang kesihatan atau tahap kebolehan seseorang penyanyi itu. Apabila dah umur macam saya ini, cabarannya memang besar berbanding orang muda.

“Apapun, saya bersyukur kerana diberi kudrat untuk menghibur dan ada sedikit kelebihan, mungkin cara hidup saya agak berbeza sikit. Ada disipilin yang saya amal dan mungkin ada beza sikit daripada yang lain. Alhamdulillah, saya syukur kepada Tuhan kerana masih memberi tenaga.

“Tak tahulah mungkin sejak kecil saya memang memilih bab makanan dan aktif bersukan. Masa muda saya main bola dan bercita-cita untuk menjadi pemain bola profesional tapi seni telah mengalahkan cita-cita itu. Saya aktif dan tidak merokok,” kata M Nasir tentang rahsia beliau bertenaga setiap kali mengadakan konsert yang memerlukannya mendendangkan lebih 20 buah lagu.

Dato' M Nasir M Nasir Penyanyi Sifu Muzik

0%