Oleh Asraf Aided
PENYANYI popular Indonesia, Afgan akui menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang selebriti meskipun sering dilihat gah ketika membuat persembahan di pentas.
Menurut pemilik nama kelahiran Afgansyah Reza, 35, dia kini semakin kekurangan masa untuk diri sendiri kerana terlalu sibuk dengan pelbagai urusan kerja.
“Antara cabaran besar yang saya lalui sejak kebelakangan ini, saya tak ada banyak masa untuk diri sendiri.
“Kebanyakan masa saya diluangkan untuk bekerja, kalau tidak membuat persembahan di pentas, saya akan sibuk dengan kerja-kerja lain seperti membuat perancangan dan macam-macam lagi.
“Sebagai penyanyi, kita bukan sekadar menyanyi, macam-macam lagi hal lain dan perancangan untuk masa depan perlu dibuat dengan rapi,” ujarnya.
Afgan ditemui Team Showbiz Suria ketika sidang media konsert Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN, BACA: Lyodra Tak Takut Masuk Malaysia
Pun begitu, Afgan tetap bersyukur dengan rezeki dan nikmat lain kurniaan Allah SWT.
“Memang itu yang saya rasakan sejak akhir-akhir ini, namun apa yang saya perlu buat adalah untuk sentiasa mensyukuri rezeki pemberian Allah.
“Di sebalik kesibukan itu, saya masih ada waktu untuk berehat cuma tak lama. Waktu off day, sekarang saya tak sempat untuk bercuti ke luar negara, saya banyak luangkan masa di Jakarta bersama keluarga dan kalau sempat, saya akan berolahraga.
“Apa yang penting, saya sentiasa mahu dikelilingi oleh orang-orang yang positif, itu dapat membahagiakan saya,” katanya lagi.
Sempat ditanya tentang sasaran dalam kerjayanya selepas ini, Afgan mengatakan dia tidak mahu mengejar apa-apa lagi. Katanya, dia percaya pada rezeki yang telah diaturkan oleh Allah.
“Tak ada apa yang dikejar, apa yang ada di depan saya, saya bersyukur dan lakukan yang terbaik. Saya harus ikhlas bekerja dan dalam hal apa pun biarlah kita berniat baik. Insya-Allah kita semua ada jalan masing-masing.
“Kalau kita fikir untuk mengejar, memang susah untuk puas kerana lepas satu perkara, boleh jadi kita mahu yang lain pula dan ia seakan tiada kesudahan,” katanya.
Konsert Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 28 September nanti di Plenary Hall, KLCC.
Afgan dan Lyodra akan membuat persembahan selama kira-kira dua jam 30 minit dengan iringan 12 pemuzik profesional dari Indonesia.
Kredit Foto: Instagram Afgan