Oleh Asraf Aided
SEPERTI siri jelajah konsertnya tahun lalu, konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia di Plenary Hall, KLCC pada 9 dan 11 Ogos lalu ternyata mencipta kejayaan.
Team Showbiz Suria hadir pada 11 Ogos dan meskipun pada hari kedua, semangat dan tenaga Ella di atas pentas tetap luar biasa, memang jelas ratu rock negara ini hanya mahu memberikan yang terbaik kepada peminat setia yang hadir.
Konsert di bawah pimpina Dato’ Acis itu bermula tepat jam 5 petang dan berlangsung kira-kira 2 jam 15 minit. Difahamkan, konsert itu dibuat petang kerana Ella dan pihak pengajur mempertimbangkan hadirin yang perlu berehat awal di rumah pada malam Ahad untuk bekerja keesokan hari.
Ella atau Hajah Nor Zila Haji Aminuddin, 58, menyanyikan 26 buah lagu termasuk lagu hits seperti Kesal, Puteri Kota, Nuri, Layar Impian, Tiada Tangis Lagi, Pedih, Sembilu dan Permata Biru.
Vokal Ella sepanjang berkonsert wajar dipuji kerana beliau masih memiliki suara kaset, yakni mampu menyanyi dengan sangat baik dan hampir kedengaran seperti versi rakaman.
Dalam kesungguhan menghiburkan penonton, Ella juga tidak lupa mengajak hadirin berdoa dan mengingat nasib mereka yang terkesan akibat perang di Palestine. Sempena itu, beliau mendendangkan lagu Kasih.
Ella menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan dan berjaya menyentuh emosi penonton. Terdengar beberapa penonton yang mengatakan mereka sebak mendengar nyanyian Ella ketika itu.
Seperti konsert hari pertama (9/8/2014), Ella menampilkan kelainan apabila mengundang suaminya,
Azhar Husaini Ghazali menyanyikan lagu Mendung Tak Bererti Hujan bersamanya.
Lagu itu dinyanyikan sebagai tribute kepada Deddy Dores yang merakamkan lagu itu bersama Ella sekitar 1989.
Kemudian, Ella mendendangkan pula lagu asli Sayang Di Sayang nyanyian asal Allahyarham Datin Rafeah Buang. Ella berjaya membawa lagu asli dengan baik tanpa menghilangkan identitinya sebagai penyanyi rock.
Bukan itu sahaja, penonton terus diberikan kejutan dengan kemunculan penyanyi popular Dayang Nurfaizah selaku bintang undangan. Selepas berduet lagu Keronchong Kemayoran, Ella meninggalkan pentas seketika untuk Dayang menghiburkan penonton dengan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang.
Selepas itu, Ella kembali ke pentas dalam persalinan kedua berwarna hitam dan putih bagi meneruskan konsert hingga ke penghujung.
Sebelum menutup tirai dengan lagu Gemilang, Ella mempersembahkan lagu Standing In The Eyes Of The World dengan latar belakang visual memaparkan momen istimewa barisan atlet Malaysia yang berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 serta beberapa acara sukan besar lain.
Semangat patriotik ternyata tidak diketepikan, sesuai dengan bulan Ogos di mana kita bakal menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi.
Sebagai salah seorang penyanyi senior di Malaysia, Ella benar-benar faham dan tahu cara menghiburkan penonton secara full throttle tanpa kelihatan terlalu mencuba.
Selain menyanyi, perwatakan Ella yang manja serta bersahaja memang tidak pernah gagal menghiburkan penonton. Beliau tidak perlu bercakap banyak, cukup dengan perkara-perkara penting yang diselit dengan unsur jenaka.
Kepada peminat Ella, jangan lupa menyaksikan konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia yang bakal berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 12 Oktober 2024.
Pembelian tiket boleh dibuat di laman web www.hitmanlive.com.