ARTIKEL

Sissy Imann Pernah Stres, Hilang Selera Makan

Oleh Asraf Aided

PENYANYI Sissy Imann akui bukan mudah untuk menempa kejayaan sebagai artis hingga dia pernah melalui fasa stres dan hilang selera makan.

Menurut Sissy atau nama kelahirannya Sissy Imann Mohammad Kamil, 28, hingga sekarang pun dia masih belum selesa dengan kedudukannya dalam dunia seni yang semakin mencabar.

“Saya rasa agak normal untuk pendatang baharu berasa risau dan memikirkan banyak perkara untuk merancang kerjaya. Saya pun pernah melalui fasa stres hingga tak ada selera makan gara-gara banyak berfikir.

“Bukan apa, artis baharu seperti saya sedikit sebanyak perlu memenangi hati orang ramai atau dalam erti kata lain, kita perlukan validation daripada peminat. Apa yang kita buat mestilah kena ikut kehendak orang di luar sana, tak boleh syok sendiri.

“Sebab itulah kadang-kadang boleh jadi terlebih berfikir dan berasa risau. Namun semuanya masih terkawal dan ia bukanlah berlaku lama, kalau mahu cakap tentang stres, semua orang pun pernah melaluinya. Saya selalu kuatkan diri dan cari jalan untuk menenangkan diri agar tidak berlarutan serta dapat bertemu jalan penyelesaian,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM di majlis pelancaran Kempen Kesihatan Mental BeCalm – You Can Be Okay, berlangsung di Menara Star Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sissy masih berusaha keras bagi mencapai kejayaan dalam dunia hiburan. Foto: Instagram

Kata Sissy, dia bersyukur kerana masih tinggal dengan keluarga kerana ibu ayahnya selalu memberi sokongan padu dalam pelbagai aspek.

“Mujurlah saya tinggal dengan keluarga. Biasanya ibu bapa saya boleh cam bila saya ada masalah dan ketika itulah saya boleh meluahkan isi hati kepada mereka, barulah rasa lega.

“Selain itu, saya juga suka bermain alat muzik untuk hilangkan stres, selalunya piano menjadi pilihan. Setiap orang ada cara tersendiri, lakukanlah apa yang buat kita gembira dan selesa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sissy sempat menasihati golongan muda di luar sana agar tidak sewenang-wenangnya mengakui diri mereka mengalamai masalah mental tanpa disahkan oleh doktor bertauliah.

“Sekarang memang ramai golongan muda yang mudah mengaku diri mereka mengalami masalah mental seperti depresi dan sebagainya tanpa diperiksa dengan betul oleh doktor. Stres, depresi dan anxiety itu semua ada beza. Tak semestinya seseorang yang stres boleh dianggap menghidap depresi.

“Janganlah sekadar mencari info di internet kemudian membuat kesimpulan sendiri, kalau betul ada masalah atau rasa murung tiada semangat, pergilah berjumpa doktor atau pakar kesihatan mental secepat mungkin, itu sebaik-baiknya,” ujarnya.

Artikel Artikel Hiburan BBNU Cerita Artis Entertainment Hiburan Malaysia Melayu Penyanyi Sissy Imann Suria FM trending viral

0%