ARTIKEL

Riezman Sanggup Tolak Tawaran Berlakon Drama TV

Oleh Khadijah Ibrahim

PELAKON Riezman Khuzaimi, 54, akui sanggup menolak tawaran belakon drama TV tempatan kerana bayarannya tidak lagi memuaskan.

Beliau sebaliknya lebih berminat membintangi drama OTT kerana bayaran serta watak untuk drama di platform itu lebih menarik.

“Sebenarnya tawaran berlakon drama TV memang ada tapi bayarannya kurang memuaskan. Kita kalau kerja di pejabat pun gaji makin lama makin naik tapi ia tidak berlaku dalam bidang lakonan. Ada juga yang saya tidak berkira soal bayaran.

“Kalau sekali dua itu bolehlah kita bertolak ansur soal bayaran tapi kalau selalu, ia tidak berbaloi dengan kos sara hidup kita sekarang, juga keadaan ekonomi negara. Banyak benda yang perlu kita bayar dan kami pelakon pun terpaksa membeli baju-baju untuk shooting. Zaman sekarang dah makin susah pelakon nak dapat tajaan pakaian seperti dulu,” katanya kepada Team Showbiz Suria, baru-baru ini.

Ketika ini Riezman baru sahaja selesai muncul dalam drama Nafsu arahan Sein Qudsi yang ditayangkan di platform VIU.

“Untuk drama Nafsu, saya melakonkan watak Tan Sri Hisham, orang politik yang mengamalkan salah guna kuasa,” katanya.

Bagi menampung pendapatan, Riezman juga suka berniaga di pelbagai festival atau jualan secara carboot.

“Saya ada produk sendiri iaitu Kedai Kuppi. Bukan saja karnival, saya juga penuhi undangan meriahkan majlis perkahwinan.

“Selalunya saya wakilkan staf tapi ada yang minta saya buat sendiri, jadi kenalah duduk dua tiga jam di situ.

“Pada 2011, saya pernah ke Acheh untuk belajar cara buat kopi, jadi barista. Alang-alang di situ saya juga belajar lebih mendalam segala yang berkaitan dengan kopi.

“Masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya aktif berniaga. Dulu memang ada kafe tapi tutup sejak tahun lepas sebab saya kembali sibuk berlakon. Tak guna buka kafe kalau saya tiada di situ.

“Antara juadah yang saya jual adalah masak lemak daging salai dan asam pedas dan mi goreng. Kopi semestinya wajib ada,” ujarnya.

Riezman berniaga kopi kerana dia sendiri menyukai minuman tersebut.

 

Riezman bersama isteri, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamad.

Sekarang kata Riezman, apabila ada kelapangan pada Sabtu atau Ahad, dia akan membuka kiosk untuk menjual kopi dan mi goreng. Kedai Kuppi miliknya itu juga menyediakan pelbagai menu minuman antaranya kopi berperisa oren, Americano, Spanish Latte, Cream Brulee Latte dan Mojito Soda Asam Boi.

“Saya buka kiosk ini merata lokasi. Konsep niaga secara carboot.

“Selalunya saya akan beritahu kepada pelanggan menerusi media sosial, jadi mereka akan tahu lokasinya di mana. Buka depan rumah pun, ada juga orang datang. Tak ada masalah sebab kiosk saya tu boleh lipat-lipat dan masukkan dalam kereta!” kata Riezman.

Berniaga Bisnes Cerita Artis Malaysia Pelakon Pelakon Bisnes Perniagaan Pelakon Riezman trending viral

0%