ARTIKEL

Min Yasmin Abadikan Dugaan Cemas Hamil Anak Sulung Dalam AnugerahMu

Oleh Khadijah Ibrahim

PENYANYI Min Yasmin, 36, tampil dengan single baharu berjudul AnugerahMu yang dicipta khas untuk anak sulungnya, Muhammad ZulFiras yang lahir pada 16 September 2023.

Lagu dan lirik AnugerahMu ciptaan Julfekar Ahmad Shah yang juga suami kepada Min, dimuat naik ke saluran YouTube Julfekar Music Channel mulai 22 Julai 2024.

Menariknya, video muzik arahan Suhaimi Suhaili itu turut menampilkan suami dan anak tercinta yang penggambarannya dibuat ketika ZulFiras berusia tiga bulan di Simpang Mengayau Kudat, Sabah.

Min atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz yang mendirikan rumah tangga dengan Julfekar pada 2014 tidak ketinggalan memaparkan momen-momen indah sewaktu ZulFiras dilahirkan.

“Syukur alhamdulillah, kini ZulFiras membesar dengan sihat dan kuat. Penggambaran video muzik ini dibuat sewaktu dia berusia tiga bulan.

“Anak saya adalah bayi pramatang dan sewaktu dilahirkan pada 16 September tahun lalu, berat ZulFiras hanyalah 880 gram. Disebabkan itulah ZulFiras terpaksa ditempatkan dalam inkubator sehingga mencecah berat dua kilogram.

“Selama dua bulan saya berulang-alik ke hospital untuk melawat dan memberikan susu badan yang dipam kepada ZulFiras,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.

Muhammad ZulFiras adalah jantung hati Min dan Julfekar.

Min yang terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk mendapat cahaya mata pertamanya itu berkata, sepanjang hamil ZulFiras pelbagai ujian yang dilalui.

“Sebenarnya, saya tak sedar yang saya sudah hamil empat bulan kerana ketika itu sibuk dengan rakaman dan penggambaran video muzik.

“Sepanjang tempoh hamil pelbagai dugaan yang saya lalui seperti tekanan darah saya sentiasa tinggi dan terpaksa buat pemeriksaan dua hari sekali di klinik. Rasanya tiga kali juga saya kena angkut dengan ambulans ke hospital dan kena tahan.

“Bukan masa hamil saja ada masalah, waktu nak lahirkan ZulFiras pun sama. Saya turut melahirkan dia secara kecemasan sebab ketika itu tekanan darah saya tinggi dan boleh membawa implikasi pada bayi dalam kandungan. Akhirnya saya terpaksa ketika bayi berumur 30 minggu.

“Semua pengalaman saya sejak hamil dan melahirkan ZulFiras dimuatkan dalam lagu AnugerahMu. Lagu ini sangat istimewa buat saya dan suami kerana penantian kami selama 10 tahun dimakbulkan Allah,” katanya.

Lagu AnugerahMu adalah ciptaan sepenuhnya oleh Julfekar.

Anak Artikel Artis Julfekar Min Yasmin Penyanyi Suria FM trending viral ZulFiras

0%