Oleh Asraf Aided
Penyanyi veteran, Dato’ Aishah berharap agar diwujudkan sebuah galeri yang mempamerkan segala pencapaian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.
Aishah atau nama kelahirannya Wan Aishah Wan Ariffin, 59, berkata kewujudan sebuah galeri khas buat penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu memang wajar dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dan persatuan artis demi menghargai pencapaian dan sumbangan Allahyarham terhadap industri seni Malaysia.
“Seperti yang kita tahu, baru-baru ini kediaman Kak Pah sudah pun dijual dan saya faham itu adalah hak dan keputusan pewaris beliau. Namun untuk terus menghargai jasa Allahyarham sebagai Biduanita Negara, memang patut ada sebuah galeri yang mempamerkan barang peribadi yang sesuai serta anugerah yang diterima sepanjang hayat beliau.
“Dengan penubuhan galeri sebegitu, bolehlah generasi akan datang kenal siapa Datuk Sharifah Aini. Kalau tidak diusahakan bimbang generasi muda pun ada yang tidak mengenali beliau.
“Mungkin sudah sampai masanya persatuan artis berusaha untuk menghubungi waris-waris Kak Pah untuk melaksanakan galeri khas ini.
“Tentu menarik kalau kita dapat menyaksikan koleksi busana, trofi serta pelbagai lagu barangan peribadi beliau,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
ARTIKEL BERKAITAN, BACA: [EKSKLUSIF] “Saya hanya jalankan tanggungjawab” – Aliff Omar, anak Biduanita Negara
Dalam perkembangan terbaharu, Aishah kini muncul dengan lagu Di Pinggir Kayangan, rakaman semula kepada versi asal dendangan Sharifah Aini.
Menurut Aishah, beliau sudah lama mengagumi bakat Sharifah Aini dan berhasrat untuk merakam semula salah sebuah lagu popular Allahyarham.
“Saya minati Kak Pah sejak muda lagi, malah ketika saya mula melancarkan lagu Janji Manismu, Allahyarham berbual dengan saya dan memuji nyanyian saya. Katanya, saya menyanyi macam Whitney Houston. Memang berdebar ketika itu tetapi begitulah keperibadian Allahyarham yang sangat baik dan suka memberi sokongan.
“Saya harap versi nyanyian saya ini dapat diterima ramai pendengar. Versi nyanyian saya berlainan dengan versi beliau. Jadi, saya harap peminat boleh terima.
“Dengan adanya perbezaan cara nyanyian, itulah yang membuatkan industri muzik kita lebih warna-warni,” katanya.