Oleh Asraf Aided
PEREKA fesyen, Farel Mikhail kesal dengan tindakan segelintir pereka fesyen tempatan yang mengubah suai busana tradisi secara melampau.
Menurut Farel, identiti pakaian sesuatu bangsa tidak seharusnya ‘dicemarkan’ dengan rekaan yang melampau demi menonjolkan kreativiti.
“Dalam dunia fesyen, semua orang mahu berkarya dengan kreatif serta mengikut trend. Cuma, pereka fesyen kita janganlah bertindak melampaui batas hingga ‘melacurkan’ budaya kita sendiri.
“Maksud ‘melacurkan’ budaya bermaksud pereka fesyen mencipta busana yang boleh mencetuskan persepsi negatif kepada masyarakat.
“Sebagai contoh, ada yang mencipta baju Melayu menggunakan fabrik terlalu jarang, meletakkan motif tanjak di bahagian dada wanita yang seksi.
“Tak dinafikan itu adalah kreativiti tetapi saya merasakan pereka fesyen juga ada tanggungjawab untuk melihara budaya tempatan agar lebih bersopan dan dihormati,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Mengulas lanjut, Farel berkata fenomena sedemikian berlaku disebabkan pereka fesyen kurang cakna tentang budaya anak bangsa di negara kita sendiri.
“Pereka fesyen kita kena lebih sensitif dalam berkarya kerana hasil kerja mereka ditatap oleh masyarakat kita sendiri.
“Janganlah selalu bertindak keterlaluan hingga mencemarkan budaya,” katanya.
Farel ditemui ketika sidang media Festival Precious of Malaysia 2024, baru-baru ini.
Farel bersama rakan pereka Jonathan Kok adalah penganjur acara tersebut melalui FM Group. Ia membuka peluang kepada pereka muda meluahkan kreativiti dan bersaing dalam pertandingan International Cultural Fashion Week (ICFW).
Acara berkenaan akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur.
“Menerusi pertandingan itu nanti, orang ramai akan dapat melihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia ke negara luar. Penyertaan kali ini kami juga buka kepada pereka fesyen luar negara seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
“Untuk Malaysia, semestinya kami ingin ketengahkan elemen batik, songket tenun, pua kumbu atau apa jua fabrik tradisi kita. Pada masa sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden juga dibenarkan,” kata Jonathan pula.
Selain ICFW, Precious of Malaysia juga akan mengadakan Hari Tanjak Malaysia pada 10 Ogos di Pavilion Damansara Heights sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia nanti.