ARTIKEL

Jangkitan Kuman: Datin Hajah Alyah Makin Sembuh

Oleh Roslen Fadzil

PENYANYI Jutaan Purnama, Datin Hajah Alyah Abu Hasan, 43, bersyukur kerana telah sembuh daripada batuk kronik serta jangkitan kuman di bahagian paru-parunya, sekali gus boleh meluangkan masa kembali bersama bayinya, Nur Izzara, 3 bulan.

Bercakap kepada Team Showbiz Suria FM hari ini (Jumaat, 12 Julai), Alyah berkata beliau mula mengalami batuk-batuk yang teruk itu selepas selesai menyempurnakan tawaf dalam ibadah hajinya di Makkah, pada pertengahan Zulhijjah lalu.

“Sekalipun diuji dengan keuzuran itu, saya amat bersyukur kerana ia berlaku selepas semua rukun haji yang diwajibkan telah selesai. Disebabkan kesihatan tiba-tiba terganggu, saya dengan rasa sedih terpaksa pulang ke Malaysia lebih awal, tidak sempat menziarahi kota Madinah. Nampaknya tiada rezeki ke Madinah kali ini.

“Sebaik sahaja pulang ke Malaysia pada 4 Julai lalu, saya terus dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya dan menjalani rawatan rapi selama empat hari. Syukurlah pada 7 Julai lalu saya telah dibenarkan pulang dan sekarang lebih banyak berehat di rumah.

“Terus terang, batuk-batuk yang saya alami itu sangatlah menyiksakan kerana sakitnya itu terasa sampai ke tulang rusuk. Mungkin sebab dulu saya pernah kena jangkitan Covid 19 menyebabkan paru-paru saya terjejas,” katanya dengan suara masih lemah.

Alyah berkata, dengan status kesihatan semakin pulih, dia kini merasa sangat bahagia kerana dapat memeluk kembali puterinya itu, Nur Izzara dan melepaskan kerinduan kepadanya.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa rindunya saya kepada Izzara. Saya sedar perpisahan yang terjadi antara kami itu juga satu ujian serta pengorbanan yang perlu saya lalui apabila dijemput mengerjakan haji oleh Yang Maha Esa.

“Sepanjang berada di Tanah Suci saya lega kerana saya boleh melihat perkembangan Izzara setiap hari melalui aplikasi yang dihubungkan dengan kamera litar tertutup di rumah saya (di Bandar Kinrara). Syukurlah Izzara selamat dan nampak selalu ceria,” kata Alyah lagi.

Nur Izzara kini hampir berusia tiga bulan. Foto: Datin Alyah
Wajah comel Izzara. Foto: Datin Alyah

Ujian Kesabaran Terhebat

Menjawab pertanyaan lain, Alyah akui beliau mendapat banyak pengajaran dan pengalaman baru ketika mengejarkan Rukun Islam kelima itu. Walaupun pernah mengerjakan umrah sebelum ini, Alyah berkata cabaran mengerjakan haji itu memang jauh lebih hebat.

“Benarlah seperti yang dikatakan, seeloknya ibadah haji dilaksanakan ketika tubuh badan kita masih kuat, ada kudrat serta kemampuan. Ujian di Tanah Suci adalah berbeza-beza untuk setiap jemaah tetapi paling utama, bagaimana kita menzahirkan tahap kesabaran itu kerana ujiannya di luar pemikiran kita.

“Bagi saya sendiri, ujian paling hebat adalah ketika bertawaf bersama jutaan umat manusia di bawah bahang cuaca panas mencecah 58 darjah celcius. Tidak pernah saya lihat jutaan manusia sebegitu ramai daripada pelbagai bangsa mengelilingi Ka’abah.

“Bagi saya ibadah haji juga menyedarkan lagi diri saya terhadap kebesaran Allah, perjuangan para nabi dan rasul dalam menyebarkan Islam serta pengorbanan insan-insan yang rapat dengan mereka,” kata Alyah dengan terharu.

Menurut Alyah, beliau juga melihat langit yang terlalu cantik pada Hari Arafah.

“Sebagai mana disebut dalam ajaran Islam, pintu langit akan terbuka seluas-luasnya pada Hari Arafah dan pada hari itu, saya melihat langit sangat indah, berwarna keemasan selepas berlakunya ribut pasir.

“Jutaan jemaah tidak lagi menghiraukan cuaca panas dan semua keluar berdoa beramai-ramai,” ujar isteri kepada maestro muzik Dato’ Haji Ramli MS (Tok Ram) ini.

Datin Alyah ketika di Arafah.

Kembali ke Malaysia, penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor itu berasa lebih tenang dan ingin terus memperbaiki banyak lagi kekurangan dirinya sebagai manusia biasa.

“Ketika di sana, saya selalu berdoa agar saya dikurniakan rezeki dalam apa juga bentuk yang mampu mendekatkan saya kepada Allah. Selama ini Dia selalu memberikan saya hidayah secara berperingkat-peringkat dan saya amat bersyukur.

“Tidak dinafikan masa saya sekarang lebih banyak bersama Izzara di rumah dan Tok Ram juga sama rajin pulang awal untuk bermain dengan Izzara,” kata Alyah.

Pasangan bahagia – Tok Ram, Alyah dan anak mereka, Izzara.

Artis Malaysia Artis Popular Datin Alyah Datin Hajah Alyah Haji Jangkitan Kuman trending viral

0%