Oleh Asraf Aided
Penyanyi handalan Nikki Palikat seakan ketagih menyertai pertandingan nyanyian meskipun sudah beberapa kali bersaing dalam beberapa program hebat.
Menurut Nikki atau nama lengkapnya Nicolette Louisa Palikat, 39, sesebuah pertandingan dapat memberikan kepuasan kepadanya terutama dari segi menyahut cabaran.
“Peluang untuk beraksi di atas pentas setiap minggu memang satu perkara yang sangat menyeronokkan. Ia bukan saja membantu dari sudut kerjaya nyanyian saya malah saya dapat belajar banyak ilmu baru daripada juri.
“Lagipun, saya ini jenis yang suka mencabar diri, memang puas rasanya kalau dapat tempuhi cabaran dan membuat persembahan sebaik mungkin setiap minggu.
“Tak dinafikan, ramai cakap masuk pertandingan boleh buat kita stres setiap minggu. Waktu masuk Gegar Vaganza (GV) dulu, berat badan saya turun mendadak sebab selalu terlupa nak makan sebab terlalu sibuk dengan latihan dan sebagainya. Ketika itu, berat badan saya turun dari 54 kilogram ke 47 kilogram.
“Namun sebagai peserta dan anak seni, itu semua perlu dilalui dengan baik. Kita kena pandai kawal stres supaya tak menganggu konsentrasi membuat persembahan,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Perkembangan terbaharu, Nikki muncul dengan single baharu berjudul Dugaan Takdir Cinta, hasil duet Bersama Afif Tirmizie.
“Untuk kolaborasi ini, kami disatukan oleh Sony Music Entertainment Malaysia. Lagu ini merupakan OST untuk drama bersiri Takdir Itu Milik Aku.
“Apabila mendapat tahu saya akan menyanyikan lagu ini Bersama Nikki, saya sangat teruja kerana tahu Nikki seorang penyanyi yang mahir menguasai teknik vokal dengan baik. Syukur alhamdulillah, proses rakaman lagu ini berjalan dengan lancar,” kata Afif yang juga bertindak selaku produser vokal untuk lagu berkenaan.
Afif akui dia juga sudah melihat semua persembahan Nikki sewaktu bertanding dalam pertandingan GV8.
“Saya sudah lihat Nikki sewaktu di dalam GV8. Dari situ saya tahu dia adalah penyanyi yang serba boleh. Mudah untuk saya mencorakkan penggayaan vokalnya dalam lagu ini,” katanya.
Saat diajukan soalan sama seperti Nikki, Afif yang merupakan bekas bintang Akademi Fantasia 9 (AF9) juga akur dengan kenyataan rakan duetnya itu.
“Bagi saya apa yang dinyatakan Nikki itu betul. Sebenarnya peluang untuk seseorang penyanyi muncul di TV sekarang sebenarnya sangat terhad.
“Dengan menyertai sesebuah pertandingan, kami boleh mengambil peluang untuk menonjolkan diri.
“Jadi, penonton pun dapat tahu sejauh mana tahap kebolehan setiap peserta,” jelasnya.
Berbalik kepada single Dugaan Takdir Cinta, ia sudah ke udara di Suria selain dimuat naik di platform YouTube.