Oleh Asraf Aided
PENYANYI berbakat, Aisha Retno tidak berkecil hati langsung dengan dengan komen-komen juri yang sesekali mengkritik persembahannya dalam pertandingan The Hardest Singing Show.
Maestro muzik Dato’ Ramli MS (Tok Ram) baru-baru ini menegur Aisha supaya tidak terlalu menunjuk ‘intelektual’ dalam persembahannya sementara Edry Abdul Halim selaku juri tetap menyifatkan Aisha belum memiliki aura seperti seorang penyanyi bertaraf diva.
Pun begitu, Aisha tetap tenang apabila ‘dihencap’ sebegitu rupa dan tidak merasakan juri bersikap bias kepada peserta lain seperti Stacy dan Ayda Jebat.
“Saya tak pernah berkecil hati atau tersinggung dengan komen mereka (juri).
“Saya mengambil komen itu dari sudut positif. Sebenarnya masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki. Bagi saya juri seperti Tok Ram dan Edry lebih berpengalaman dalam dunia hiburan, jadi saya kena terima segala teguran itu,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Berkat semangat kental serta tidak mudah putus asa akhirnya membuahkan hasil kerana Aisha juga layak ke pentas akhir The Hardest Singing Show, Ahad ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki ini. Apabila nama diumumkan layak ke final, saya rasa sangat gembira dan lega. Insya-Allah, saya akan mencurahkan usaha secara total untuk malam final kelak,” ujarnya.
Memandangkan format The Hardest Singing Show memerlukan peserta membuat persembahan mencabar dan di luar kotak fikiran, Aisha melihat perkara itu dari sudut positif kerana banyak perkara yang boleh diterokainya.
“Saya terima tawaran daripada pihak Astro kerana saya ingin mencabar diri sendiri.
“Pendapat saya, pertandingan ini dapat menaikkan martabat industri muzik kerana artis-artis kita sebenarnya ramai yang serba boleh.
“Dalam sesuatu pertandingan sebegini, kita tak selalunya akan berada di atas. Dengan adanya juri, merekalah yang membantu kita kalau kita tersilap percaturan. Sebagai salah seorang peserta saya hanya perlu berikan yang sebaik mungkin pada setiap minggu,” jelasnya.
Ditanya sama ada pernah terlintas untuk menarik diri daripada pertandingan berkenaan, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian.
“Tiada istilah menarik diri untuk saya. Apa yang boleh menghalang saya daripada menyertai sesuatu pertandingan hanyalah masalah kesihatan serta masalah lain yang tidak dapat elak seperti jadual yang bertindih.
“Sekarang, fokus saya tentunya tertumpu kepada segala proses persediaan untuk final. Doakan saya, harapnya saya sihat dan semua proses dipermudahkan oleh-Nya,” katanya lagi.
Ketika persembahan minggu kesembilan Ahad lalu, Aisha meraih markah tertinggi sebanyak 90.74.
Untuk malam final pula, Aisha bakal beraksi dengan lagu Hati Tak Tahan dengan gabungan elemen tarian Janger Bali. Seterusnya, dia akan bergabung pula dengan Ayda Jebat dalam pusingan kedua.
Dalam perkembangan lain, Aisha bakal mengadakan konsert sulung Malam Sutera Live In Concert pada 16 November ini di Zepp Kuala Lumpur.