PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk menggalas tugas sebagai tuan rumah bagi penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang bakal diperkenalkan buat julung kalinya.
Memetik laporan Berita Harian, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, terdapat beberapa faktor yang perlu diperhalusi terutama berhubung dana bagi menganjurkan kejohanan itu.
“Secara dasarnya, kita bersetuju. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Antaranya, dana dan takwim kita tahun depan yang dijangka penuh. Kita ada Sukan SEA di Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) dan mungkin kejohanan lain yang turut akan berlangsung,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM pada Isnin.