ARTIKEL

Kumpulan Media Star, Media Group of Kompas Gramedia (KG Media) dan Inquirer Group of Companies Rasmi Lancarkan Konsortium Impak Positif ESG Pertama di Asia
Pada satu detik bersejarah, Star Media Group (“SMG”), Media Group of Kompas Gramedia (“KG Media”) dan Inquirer Group of Companies (“IGC”), tiga kuasa besar media yang berpengaruh di Asia, telah bergabung hari ini untuk melancarkan Konsortium Impak Positif ESG Asia (“A-EPIC” atau “Konsortium”) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Pelancaran A-EPIC menandakan detik penting bagi ketiga-tiga rakan media yang berkongsi misi untuk memacu pengaruh prinsip ESG dalam memudahkan pertumbuhan ekonomi hijau di rantau ini.

Penerapan perubahan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memerlukan anjakan minda dan ia lebih daripada sekadar mematuhi peraturan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Anwar, adalah penting untuk mengakui bahawa mencapai pelepasan karbon sifar bersih memerlukan usaha kolaboratif melibatkan kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia sendiri.”Di sinilah saya yakin bahawa pembentukan Konsortium Impak Positif ESG Asia adalah tepat pada masanya di mana ia dapat memanfaatkan kekuatan tiga kumpulan media untuk memudahkan tindakan kerjasama antara pihak berkepentingan, perniagaan dan orang ramai.

“Di sini juga, kita perlu ingat bahawa penerapan perubahan prinsip ESG melampaui sekadar pematuhan peraturan; ia memerlukan perubahan mentaliti untuk menerima prinsip penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan kecemerlangan tadbir urus,” katanya pada majlis pelancaran Konsortium Impak Positif ESG Asia (A-EPIC) pada Jumaat.

Selain itu Anwar menggesa semua pihak berkepentingan termasuk perniagaan, masyarakat sivil dan individu untuk aktif dalam mencapai masa depan yang lestari dan selamat untuk generasi akan datang.

“Bersama-sama kita dapat mencipta sinergi yang kuat bagi mendorong perubahan bermakna. Marilah kita memulakan perjalanan ini dengan semangat bersama dan optimis,” katanya.

Anwar menambah bahawa dunia sedang menghadapi banyak cabaran alam sekitar seperti suhu yang lebih tinggi, ribut kuat dan kemarau yang meningkat. Justeru katanya, sebagai tindak balas banyak kerajaan di dunia bersetuju untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan menggunakan pelbagai langkah untuk memupuk inovasi hijau, memacu ekonomi lestari dan merancang peralihan tenaga boleh diperbaharui.

“Di Malaysia kami mengambil sikap progresif terhadap penyahkarbonan dan agenda kelestarian yang lebih besar. Malah, konsep Madani, etos pembangunan negara, meletakkan kelestarian sebagai salah satu daripada tujuh prinsip terasnya,” katanya.

Ujar Anwar lagi, Putrajaya komited untuk menanam prinsip ESG dalam tadbir urusnya dan memastikan masa depan yang lestari dan makmur untuk generasi akan datang. Beliau juga berkata kerajaan melaksanakan pelbagai dasar multifaset bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon, mempromosikan ekuiti sosial, mencipta peluang pertumbuhan baru dalam ekonomi hijau dan memastikan tadbir urus yang telus.

“Oleh itu dana yang besar diperuntukkan untuk tenaga boleh diperbaharui, pertanian lestari dan pengangkutan hijau sebagai komitmen kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon negara dan mempromosikan amalan lestari,” tambahnya.

Permuafakatan rentas sempadan ini bertujuan untuk memberi impak kepada 123 juta orang di seluruh rantau ini.

Launch of the Region’s First Asia ESG Positive Impact Consortium at Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur. —YAP CHEE HONG/The Star

Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif KG Media, Andy Budiman serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Philippine Daily Inquirer Rudyard Arbolado. Duta Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono dan Duta Filipina ke Malaysia Maria Angela Abrera Ponce juga turut hadir. Kumpulan Media Star diwakili oleh Pengerusinya Tan Sri Wong Foon Meng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chan Seng Fatt; Ketua Pegawai Perniagaan Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng.

Konsortium dengan sukacitanya mengumumkan Sime Darby Property Berhad sebagai Rakan Biodiversiti Bandar untuk inisiatifnya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Konsortium dan misinya, layari esgpositiveimpactconsortium.asia.

0%