SUDAH empat bulan tidak bertemu, isteri kepada penyanyi Ippo Hafiz iaitu Fara Roslan mempersoalkan keberadaan anak kedua mereka iaitu Ibrahim Afi Nur.
Fara atau Norfarahin Roslan, 36, berkata sehingga kini dia masih belum mengetahui keberadaan anaknya kerana Ippo gagal untuk dihubungi.
Malah, Ippo juga tidak memberikan sebarang jawapan sewaktu mereka bertemu di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, Selangor pada pagi Isnin.
Fara kecewa Ippo hadir seorang diri.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
“Saya hanya nak selesaikan hal berkenaan anak sahaja. Saya nak jumpa anak sebab dah lama tak jumpa dia sejak Februari hingga sekarang.
“Saya hubungi dia tak angkat, mesej tak balas. Jadi saya tidak tahu di mana anak saya. Sedangkan dia datang hari ini pun tak bawa anak. Dekat mana anak saya?
“Tadi pun saya tanya dan dia tiada jawapan, diam sahaja. Jadi saya tak tahu di mana Ibrahim. Saya tak tahu kenapa dan dia nak apa sebenarnya,” katanya kepada mStar.
Fara berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas sebutan keempat kes tuntutan nusyuz yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz dan isteri belum bercerai, hantar notis kepada pihak lempar tohmahan henti keluar kenyataan
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kakak kandung tak tahu masalah sebenar dengan isteri, Ippo Hafiz hantar notis enggan isu jadi besar
Dalam pada itu, Fara memberitahu dia turut menghubungi keluarga Ippo namun hampa kerana mereka juga tidak mengetahui keberadaan anaknya itu.
Tambah Fara, anak pertamanya iaitu Yusof Zarin Nur turut merindui adiknya dan sebagai ibu dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkan situasi ini.
“Saya sudah tanya kepada ibu Ippo, kakaknya juga tetapi semua tidak tahu.
“Saya sangat sangat rindukan anak saya, Ibrahim itu sahaja.
Sedangkan Yusof sendiri rindukan adik dia.
FARA
ISTERI IPPO
“Saya sangat sedih, saya tak tahu di mana anak saya sekarang. Sedangkan Yusof sendiri rindukan adik dia. Saya tidak tahu bagaimana ingin jelaskan kepadanya,” ujarnya.
Berkongsi perkembangan kes nusyuz, peguam yang mewakili Fara iaitu Rezal Mazli Abdul Muin berkata kes ini akan diteruskan untuk pengurusan pada 30 Julai depan.
“Hari ini kami baru mendapat jawapan kepada pembelaan kepada kes nusyuz ini, tapi masih lagi belum membaca dan meneliti.
“Bagaimanapun mahkamah mengarahkan untuk kes ini diteruskan kepada peringkat pengurusan daripada segi dokumen, keterangan saksi dan akan disebut semula pada petang 30 Julai depan, tapi kehadiran pihak-pihak dikecualikan,” jelasnya.
Ippo hadir ditemani peguam ke mahkamah.
Rezal juga memberitahu anak guamnya sudah memfailkan hak penjagaan hadanah interim yang akan ditetapkan pada 9 Julai ini.
Kata Rezal, pihaknya terbuka untuk berbincang mengenai kes hadanah ini dan berharap dapat diselesaikan secara baik.
“Kami juga sudah failkan hal penjagaan anak dan mendapatkan perintah sementara hak jagaan anak yang mana sudah diserahkan kepada pihak suami.
“Kes ini akan ditetapkan pada 9 Julai dan saya percaya mudah-mudahan kalau kes melibatkan anak, kami akan cuba bincang secara baik. Sebolehnya apabila melibatkan kes anak, diharapkan boleh diselesaikan secara baik,” katanya.
Ippo dan Fara mempunyai dua orang cahaya mata bersama.
Pada 19 April lalu, Ippo memberitahu Ibrahim kini dalam jagaannya dan tidak pernah menghalang Fara datang bertemu kanak-kanak itu.
Fara kemudiannya menyindir kenyataan yang dibuat penyanyi berkenaan dan memberitahu jika benar Ippo tidak berbuat demikian sudah tentu dia sudah bertemu dengan anak lelakinya itu.
Pada 23 April lalu, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan kedua kes nusyuz yang difailkan terhadap isterinya.
Tuntutan dibuat susulan isterinya itu tidak pulang dan keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.
Untuk rekod, Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 34, dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki.
Anak sulung mereka bernama Yusof Zarin Nur, 4, kini dibawah jagaan Fara sementara anak bongsu iaitu Ibrahim Afi Nur, 2, bersama Ippo.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube