SELANGOR FC bersedia untuk menerima apa jua keputusan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai permohonan penangguhan tarikh Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya memahami bahawa sukar buat badan pengelola itu membuat keputusan dalam tempoh singkat.
“Seperti yang kita sudah keluarkan kenyataan pada Selasa, pihak kami sudah secara rasmi menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak (FAM) dan MFL jikalau boleh aksi Piala Sumbangsih dijadualkan semula. Saya faham MFL dan FAM agak sukar untuk membuat keputusan, tetapi harapan kami di Selangor FC jika boleh diterima. Namun, kami bersedia dengan apa jua keputusan,” katanya.






