ANDA pasti pernah berdepan situasi pengawal keselamatan di premis tertentu mahu meminta dan menyimpan kad pengenalan.
Namun begitu tahukah anda bahawa golongan tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyimpan kad pengenalan kita?
Berdasarkan video tular pada Selasa, seorang lelaki dilihat berang dengan tindakan pengawal keselamatan warga asing di sebuah kilang di Kulai, Johor yang dikatakan mahu menyimpan kad pengenalan dan lesen miliknya.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Pengawal dipercayai warga asing yang berada di dalam sebuah pondok keselamatan tersebut bagaimanapun hanya terpinga-pinga apabila dirinya dimarahi.
“Awak security, kenapa mahu simpan IC (kad pengenalan) dan lesen saya?
“Undang-undang Malaysia tidak benarkan (anda) menyimpan IC saya, awak boleh isi nama sahaja,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing ada rekod jenayah ganggu wanita di Bukit Bintang kena pijak ‘berjemaah’
Sementara itu, berdasarkan penerangan yang dibuat menerusi laman web AskLegal oleh Khairul Khalid, pengawal keselamatan tidak mempunyai hak untuk menyimpan kad pengenalan pelawat dalam apa jua keadaan sekalipun.
Malah, ia merupakan satu kesalahan yang besar!
Menurutnya, undang-undang itu termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
“Adalah menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah peraturan 25, bagi mana-mana orang yang bukan seorang pegawai seperti yang tersebut di bawah subperaturan 7(1) untuk menyimpan kad pengenalan orang lain, secara tidak munasabah, selain daripada dirinya sendiri.
“Di bawah peraturan 8A, jika kakitangan yang tidak berkuasa memegang kad pengenalan anda, dia melakukan satu kesalahan.
“Sesiapa yang disabit atas kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda sehingga RM20,000,” katanya.
Dia turut menjelaskan, Peraturan 7 menyatakan bahawa hanya pegawai tertentu dibenarkan untuk mengenal pasti identiti seseorang dan meminta kad pengenalan untuk diperiksa.
Ujarnya lagi, pegawai-pegawai tersebut termasuk pegawai pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN), pegawai polis, pegawai kastam, anggota angkatan tentera yang bertugas dan pegawai awam yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah.
“Namun mereka hanya boleh melakukannya jika mempunyai sebab kukuh untuk mengesyaki bahawa identiti orang itu adalah palsu.
“Pada 16 November 2018, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan di Facebook mengesahkan bahawa pengawal keselamatan tidak mempunyai hak untuk menyimpan kad pengenalan anda,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khairul memaklumkan, Peraturan 7 juga menjelaskan pengawal keselamatan tidak dibenarkan memeriksa identiti anda, apatah lagi meminta apa-apa jenis dokumen pengenalan.
“Walau bagaimanapun, demi keselamatan orang awam, pada tahun 2007 Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat pekeliling yang memberi kuasa kepada pengawal keselamatan untuk meminta dokumen pengenalan pengunjung untuk tujuan pemeriksaan dan rekod.
“Oleh itu, pengawal dibenarkan merekod butiran kad pengenalan sebelum memberikan anda akses kepada kawasan perumahan, kondo dan lain-lain.
“Namun, mereka mesti mengembalikan dokumen pengenalan kepada anda serta-merta. Mereka tetap dilarang menyimpan IC (kad pengenalan) anda,” maklumnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram