DIBUANG keluarga, tiada tempat berteduh dan tidak makan selama berhari-hari, begitulah nasib seorang wanita yang ditularkan menerusi sosial media baru-baru ini.
Menerusi catatan di Facebook selebriti dan komposer terkenal Hafiz Hamidun sejak Rabu lalu, perkongsian kisah hidup wanita itu telah meruntun jiwa warga maya ekoran takdir malang yang menimpanya.
Menerusi kisah yang diceritakan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah pangsapuri dekat Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia yang juga bekas pendidik di sebuah sekolah swasta dikatakan terpaksa hidup sebagai gelandangan dan berkeliaran di sekitar Petaling Jaya kerana hilang punca pendapatan selepas diberhentikan.