KEJOHANAN berprestij bola jaring tanah air, Netball Super League (NSL 2023) yang memasuki musim ketiganya kembali membuka tirai perlawanan di Stadium Juara, Kuala Lumpur bermula 13 Oktober hingga 5 November nanti.
Saingan selama empat minggu nanti menyaksikan lapan pasukan iaitu Johor Jewels, Kuala Lumpur (KL) Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pasukan baharu, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamite akan turun memburu mahkota kejuaraan.
Jika diimbau kembali saingan musim lepas, pasukan bola jaring Johor membuktikan mereka sebagai kuasa baharu arena sukan tersebut apabila menjuarai NSL 2022 selepas menewaskan juara 2021, KL Wildcats 50-40 di Stadium Juara, Bukit Kiara.