ARTIKEL

Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Julung Kali Anjur Kursus Asas Rawatan Rapi Pediatrik untuk Jururawat di Malaysia

Bandar Sunway, 1 Mac 2023 – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway percaya bahawa kecemerlangan klinikal memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pesakit. Dalam usaha mencapai kecemerlangan klinikal yang tertinggi, Pusat Perubatan Sunway telah menganjurkan Kursus Asas Rawatan Rapi Pediatrik untuk Jururawat (Paediatric Intensive Care Basic Course For Nurses) yang pertama di Malaysia.

Seramai 48 jururawat yang mempunyai kepakaran dalam penjagaan kritikal telah menyertai program yang diadakan dari 22 hingga 24 Februari 2023 di Pusat Konvensyen SunMed. Diketuai oleh Dr Anis Siham Zainal Abidin, Pengarah Program dan Perunding Pediatrik Intensivis di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, modul kursus ini direka untuk memperkenalkan asas pengurusan dalam persekitaran rawatan kritikal pediatrik kepada jururawat.

“Program ini bertujuan untuk mengembangkan peranan jururawat serta mengoptimumkan penjagaan dan pengurusan kanak-kanak dan keluarga dalam bidang klinikal mereka. Dengan itu, mereka dapat meningkatkan penilaian, diagnosis dan pengurusan terhadap kanak-kanak yang menghidapi penyakit kritikal dengan memperkasakan kemahiran dan pengetahuan jururawat dalam ventilasi mekanikal, resusitasi kardiopulmonari, pengurusan cecair dan elektrolit serta kanak-kanak yang mengalami trauma yang teruk,” kongsi Dr Anis.

Program yang menampilkan penceramah terkenal dari Malaysia dan Australia itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Rawatan Intensif Malaysia (Bahagian Pediatrik) dan Kumpulan Rawatan Intensif Pediatrik Australia.

Salah seorang penceramah, Deborah Pegg, yang merupakan jururawat rawatan rapi kanak-kanak dan pengajar jururawat dari Australia berkongsi bahawa jururawat yang menyertai kursus ini sangat komited dan bersemangat sepanjang program berlangsung. “Platform seperti ini memberi mereka peluang untuk mengukuhkan, mempamerkan serta berkongsi kemahiran dan pengetahuan antara penceramah dan rakan sejawat. Perjumpaan dan teknik baharu akan sentiasa ditemui. Dengan itu, kursus seperti ini dapat memberi manfaat kepada jururawat daripada pelbagai bidang,” jelasnya.

Tee May Fung, Jururawat Kanan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway turut berkongsi bahawa pengalamannya dalam penjagaan kritikal pediatrik banyak diperoleh melalui latihan praktikal (bedside training) daripada jururawat senior. “Kursus ini bagus kerana kami dapat memahami teori dan mendapat latihan praktikal daripada penceramah yang berkemahiran tinggi. Ini memberikan saya keyakinan apabila mengetahui apa yang saya lakukan adalah tepat,” ujarnya.

Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, Pusat Perubatan Sunway sentiasa mengikuti perkembangan amalan klinikal terkini supaya kaedah terbaik dapat digunapakai di seluruh peringkat hospital. Program seperti ini memberi peluang kepada jururawat untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran mereka, yang akan mereka terapkan dalam menguruskan pesakit.

Kejayaan ini mengukuhkan lagi pengembangan Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway, yang mana tiga lagi menara (Menara D, E dan F) akan dilancarkan secara berperingkat. Menara D akan menjadi yang pertama dilancarkan dan akan memuatkan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan khusus untuk kanak-kanak. Seiring pembangunan ini, Pusat Perubatan Sunway akan menambah bilangan katilnya daripada 616 kepada 1,000 buah katil berdaftar.

0%