KETUA pasukan Sabah FC, Park Tae-su antara import The Rhinos yang boleh dilabel sebagai pembelian berbaloi apabila menampilkan persembahan cemerlang musim ini sejak dia menyertai kelab Borneo itu pada 2018/19.
Apabila bercakap mengenai import yang pernah berkelana di bumi Malaysia, pemain dari Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina lebih sinonim dengan saingan Liga M namun kehadiran Tae-su memberi tanggapan berbeza kepada penyokong serta pemilik kelab.
Impak positif yang ditampilkan tonggak kelahiran Incheon, Korea Selatan itu secara tidak langsung membuka peluang untuk pemain dari negara Asia itu beraksi di liga domestik dan buktinya musim ini terdapat beberapa kelab memilih menggunakan import dari negara republik itu.