SRI Pahang FC menamatkan Liga Super 2023 dengan berada di tempat kelima hasil daripada 45 mata yang diperolehi menerusi 13 kemenangan, enam seri, serta tujuh kekalahan musim ini.
Pencapaian itu menyaksikan skuad Tok Gajah berjaya untuk memperbaiki kedudukannya di carta liga buat dua musim berturut-turut dengan naik dua anak tangga berbanding tempat ketujuh pada musim lalu.
Sebelum itu, prestasi Sri Pahang juga merekodkan peningkatan drastik apabila berjaya melonjak dari kedudukan tiga tercorot dalam saingan Liga Super 2021.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Rekod tersebut membuktikan bahawa skuad Tok Gajah kini sudah meletakkan dirinya sebagai pasukan regular yang sentiasa berada di kelompok pertengahan liga.
Bagaimanapun, sebagai sebuah kelab yang mempunyai tradisi cukup gemilang di dalam Liga Malaysia, penyokong pastinya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa.
Disebabkan itu, pihak pengurusan pasukan tentunya akan sentiasa mencari cara bagi menambah baik pasukan khususnya dalam mendapatkan pemain baharu ketika jendela perpindahan.
Berikut Majoriti senaraikan tiga pemain yang dikaitkan dengan Sri Pahang FC bagi memasuki musim baharu pada tahun depan:
1. Hafizul Hakim
Hafizul ketika beraksi bersama Perak FC.
Beraksi di posisi penjaga gawang, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bukanlah nama yang asing dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Selain pernah dipanggil beberapa kali bagi membarisi skuad kebangsaan, dia yang juga pernah turut mempunyai pengalaman luas beraksi bersama beberapa pasukan utama Liga Super.
Dua pasukan yang pernah mendapatkan khidmat penjaga gol tinggi lampai ini dengan ketinggian 1.85m adalah Perak FC dan Penang FC.
Pada musim ini, Hafidzul, 30, yang juga bekas kapten skuad The Bos Gaurus memilih untuk beraksi bersama kelab yang beraksi di Liga M3 iaitu Harini FT.
Bagaimanapun, menurut pemerhati sukan, T Avineshwaran, kontrak anak kelahiran Ipoh, Perak itu bersama kelab divisyen tiga itu sudah pun tamat.
Situasi itu dilihat memberi peluang kepada Sri Pahang FC bagi mendapatkan penjaga gol tersebut bagi musim depan.
Pada musim ini, Sri Pahang FC bergantung kepada penjaga gol yang dipinjamkan daripada Johor Darul Takzim (JDT), iaitu Izham Tarmizi.
Sekiranya tempoh pinjaman tersebut tidak dilanjutkan dan pihak pengurusan tidak mengambil mana-mana penjaga gawang baharu, ia akan meletakkan barisan kejurulatihan di situasi yang sukar.
Ini kerana ia bermakna skuad Tok Gajah berkemungkinan terpaksa mengharapkan kepada dua penjaga gol kurang berpengalaman iaitu Zarif Irfan dan Syazmin Rozaimi untuk menghadapi musim depan.
2. Hazwan Bakri
Hazwan Bakri (kanan) ketika beraksi bersama JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers
Pada Selasa lalu, bekas penyerang utama skuad Kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri memberi bayangan berkemungkinan akan meninggalkan JDT selepas hampir tujuh tahun bersama skuad Harimau Selatan.
Perkembangan tersebut pastinya menarik perhatian beberapa kelab di Liga Super yang mahu menagih khidmat anak kelahiran Labuan itu yang juga lebih dikenali sebagai Hazwan.
Meskipun sudah agak lama tidak mendapat minit permainan yang konsisten, ia tidak semestinya bermakna penyerang berusia 32 tahun ini sudah kehilangan taringnya di hadapan gol.
Ini kerana perlu diketahui bahawa saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT tidaklah mudah.
Dalam pada itu, pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan bahawa Hazwan kini sedang dalam pertimbangan untuk menyertai Sri Pahang FC.
Kehadirannya yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) 2015 itu pastinya memberikan pilihan tambahan buat skuad Tok Gajah di bahagian serangan.
Untuk rekod, sepanjang 63 penampilannya bersama JDT Hazwan berjaya merekodkan 10 jaringan manakala aksinya bersama skuad Kebangsaan menyaksikan dia mencetak tujuh jaringan daripada 32 perlawanan.
3. Kamal Azizi
Kamal (kiri) menyertai KL City FC daripada Terengganu FC pada 2021. —Facebook Penang FC
Turut menjadi antara nama dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang FC ialah pemain pertahanan kanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Kamal Azizi.
Menurut Avineshwaran, skuad Tok Gajah mula menunjukkan minat untuk menandatangani pemain berusia 30 tahun itu meskipun dia masih memiliki baki kontrak setahun bersama skuad Warga Kota.
Mula mencipta nama bersama Terengganu FC, Kamal merupakan pemain yang sentiasa mendapat kepercayaan daripada jurulatih pasukan yang disertainya untuk diletakkan sebagai pemain kesebelasan utama.
Kamal juga mempunyai versatiliti apabila dia bukan sahaja boleh beraksi di posisi bek kanan, tetapi juga di pertahanan tengah dan pemain tengah kanan.
Pada musim ini, anak kelahiran Terengganu ini beraksi di hampir kesemua perlawanan Liga Super, iaitu 25 penampilan daripada keseluruhan 26 perlawanan.
Sebelum itu, Kamal, 30, juga menjadi antara tonggak utama yang membawa KL City menjuarai Piala Malaysia Ke-100 dengan membuat kejutan menewaskan kelab bola gergasi tanah air, JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram