BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
DATANGNYA sebagai pilihan juara, Jepun malangnya sudah pulang awal dari Piala Asia Qatar. Mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Samurai Biru kali ini, ketua jurulatihnya, Hajime Moriyasu, mengakui pasukannya masih perlu terus meningkat dalam banyak aspek seusai dibenam Iran 2-1 dalam suku akhir malam tadi (Sabtu).
Jepun adalah naib juara pada 2019 dan di sebalik tiba selaku pilihan hangat untuk melanjutkan empat kejuaraan terdahulu, mereka tidak pun terlalu meyakinkan ramai di Qatar sehingga terkeluar dalam kekalahan dramatik kepada satu sepakan penalti Iran dalam waktu kecederaan.